Penjelasan isteri Kapten Zainol Afiq Bee Sham, Izzati Syamimi, mengenai pintu helikopter yang kelihatan seperti tercabut dalam satu rakaman tular, mengundang perhatian pengguna media sosial.
Menerusi perkongsian di media sosial, Izzati menjelaskan pintu berkenaan bukan tercabut akibat kerosakan, sebaliknya sememangnya boleh ditanggalkan kerana helikopter berkenaan digunakan sebagai ambulans udara.

Menurutnya, mekanisme tersebut membolehkan katil pesakit ditolak masuk ke dalam helikopter bagi memudahkan urusan ketika melaksanakan misi.
Izzati turut berkongsi sisi peribadi suaminya yang disifatkan sangat teliti terhadap helikopter yang dikendalikan, khususnya ketika melakukan pemeriksaan sebelum menjalankan tugas.
“His toys everyday. Paling garang kalau check kapal. Paling cerewet pasal kapal. Tapi paling lemah lembut untuk mintak tolong orang settlekan kapal,” katanya.

Dia turut berseloroh mengenai kesibukan suaminya yang sanggup bekerja lebih masa bagi memastikan pemeriksaan terhadap helikopter dilakukan, selain menyifatkan Kapten Zainol sebagai seorang yang lembut tutur katanya namun tegas dalam urusan berkaitan helikopter.
Baca juga:
- ‘Pintu helikopter BO-105 memang boleh ditanggalkan’ – Isteri Kapten Zainol Afiq
- Raja Penyu kembali mendarat di Terengganu, kali ini hadiahkan’ 81 biji telur
- ‘Tuduhan anjing liar milik datuk Haira berat’- Malaysia Animal Association
Sebelum ini, rakaman video memaparkan Kapten Zainol bersama Penolong Pegawai Perubatan, Alexson Adit Henry, sedang membetulkan pintu helikopter ketika melaksanakan satu misi FDS.
Rakaman itu turut memperlihatkan Dr Ainul Baraah Kamarudin serta jururawat Jessie Paya Jok dan Debra Moset berada di lokasi ketika kejadian berkenaan.
Perkongsian video tersebut bagaimanapun mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan pengguna media sosial, termasuk dakwaan bahawa helikopter berkenaan sudah berusia atau mengalami masalah penyelenggaraan.

Seorang pengguna Threads, Leona Airin, tampil memberikan penjelasan mengenai perkara itu dan meminta orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan hanya berdasarkan keadaan pintu yang dilihat dalam rakaman.
Menurutnya, helikopter BO-105 sememangnya mempunyai mekanisme yang membolehkan pintunya dibuka dan ditanggalkan, sekali gus tidak semestinya menunjukkan helikopter berkenaan uzur atau tidak diselenggara.
Beliau turut mengingatkan pengguna media sosial supaya menyerahkan pemeriksaan teknikal dan siasatan rasmi kepada pihak berkaitan bagi menentukan punca sebenar sesuatu kejadian.
“Jangan bina cerita daripada sekeping gambar,” katanya.









