Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Penerbit dan komposer, Edry Abdul Halim meluahkan rasa kecewa dengan layanan diterima oleh anak istimewanya ketika berkunjung ke sebuah restoran yang terletak di ibu negara.
Edry melalui hantaran di Instagram memohon kepada semua pihak agar lebih peka dan memahami situasi dilalui individu dalam kategori orang kelainan upaya (OKU).
“Emery anak istimewa saya, dia autistik, non-verbal dan tiada cara komunikasi seperti kita yang sempurna ini. Dia berada di Kuala Lumpur untuk bercuti dan dah dua malam juga kita pergi makan di pusat bandar.
“Apa yang saya nak tekankan dekat sini adalah kadang-kadang tindakan anak istimewa ini dia di luar jangkaan. Dia buat apa dia nak tanpa fikir apa-apa. Dia tak faham konsep kena bayar dan kena order.
“Kejadian ini membuatkan saya trauma kerana kadang-kadang pekerja di kedai dan pelanggan tak faham bahawa orang istimewa ini lain daripada lain. Mereka mula tinggikan suara, marah dan maki-maki anak saya,” katanya.
Edry juga meminta agar orang ramai memberi ruang kepada golongan berkenaan untuk menikmati kehidupan yang normal.
“Inilah akan terjadi bila masyarakat kita tak peka dengan orang-orang yang mempunyai kekurangan dari segi keupayaan mental. Sepanjang hidup, mereka perlu lalui hidup yang sebegitu, tapi mereka juga adalah manusia biasa yang mahu menjalani kehidupan normal.
“Orang luar hanya perlu hadap perangai mereka satu atau dua minit sahaja. Ibu bapa seperti kami perlu hadap mereka sepanjang hidup. Jika kamu fikir satu atau dua minit itu susah, boleh bayangkan bagaimana kami menghabiskan sepanjang hayat untuk menghadap mereka,” katanya.
Dalam pada itu, diruangan komen juga, ada yang berkongsikan pengalaman sama berdepan dengan masyarakat yang seolah tidak ‘peduli’ keadaan anak-anak istimewa ini dan bertindak kasar ke atas mereka.