Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pelakon Siti Elizad Sharifuddin, 40, berkongsi perjalanan emosinya sepanjang 10 tahun perkahwinan tanpa dikurniakan zuriat. Meskipun sudah membuat persiapan seperti menyediakan bilik dan membeli katil bertingkat, beliau akhirnya memilih untuk reda dan menyerahkan kelengkapan tersebut kepada kawan-kawan.
“Dulu saya impikan anak ramai. Saya sudah siapkan bilik dan beli katil bertingkat untuk anak-anak. Tapi kini saya reda dan berikan katil itu kepada kawan-kawan kerana tidak mahu terus berharap setiap kali lalu depan bilik itu. Alhamdulillah, saya sudah okay sekarang,” katanya memetik laporan Berita Harian, Sabtu.
Mengakui perasaan kecewa tetap wujud, Elizad menyatakan dia kini lebih tenang menerima ketentuan Tuhan.
“Allah sudah beri segalanya, cuma soal zuriat ini sahaja Allah tiada rezeki,” tambahnya.
Dalam pada itu, Elizad meluahkan rasa syukur atas kesetiaan suaminya, Shamsul Baharin Rahman, yang sentiasa berada di sisinya sepanjang perjalanan mereka. Bahkan, dia pernah mencadangkan suaminya berkahwin lain untuk mendapatkan zuriat.
“Kalau suami mahukan anak, saya izinkan. Tapi, saya sendiri tak tahu berapa lama saya mampu berada dalam poligami. Kalau tak mampu, saya lepaskan sebab saya tak sempurna. Suami pula katakan dia pernah ada anak dan tak kejar soal itu,” jelasnya.
Elizad turut berkongsi pengalaman pahit sepanjang usaha mendapatkan anak, termasuk menjalani rawatan kesuburan in-vitro (IVF) sebanyak dua kali.
“Saya pernah berubat ke seluruh Malaysia. Orang tak nampak betapa berat perjalanan saya. Tapi suami sangat memahami, itu yang paling saya syukuri,” ujarnya.
Meskipun pernah mengalami keguguran dua kali, pada November 2020 dan selepas rawatan kedua pada Mac 2022, Elizad percaya kebahagiaan rumah tangganya adalah kurniaan terbesar dalam hidup.
“Saya tak pernah bergaduh besar dengan suami. Bila kawan-kawan cerita masalah mereka, saya rasa mungkin Allah kurangkan perkara lain untuk lebihkan kebahagiaan dalam rumah tangga kami. Apa yang penting, kami bahagia,” katanya.
Sumber: Berita Harian








