Pesawat bawa jemaah Haji lakukan pendaratan cemas akibat ancaman bom | The Reporter

Pesawat bawa jemaah Haji lakukan pendaratan cemas akibat ancaman bom

Pesawat Saudia Airlines SI-576 di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu selepas mendarat cemas akibat ancaman bom.
Pesawat Saudia Airlines yang membawa jemaah haji dari Jeddah ke Jakarta mendarat cemas di Kualanamu selepas juruterbang menerima ancaman bom.Gambar: Kompas

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Sebuah pesawat milik Saudia Airlines dengan nombor penerbangan SI-576 terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu, Deli Serdang, Sumatera Utara pada Selasa, selepas juruterbang menerima maklumat berhubung ancaman bom.

“Ya, ia mendarat secara cemas kerana ada ancaman bom yang diterima oleh juruterbang. Maka pesawat itu melakukan pendaratan cemas,” jelas Ketua Jabatan Komunikasi Korporat, Komisioner Besar Polis Ferry Walintukan.

Memetik laporan Kompas, pesawat berkenaan membawa seramai 442 orang penumpang yang terdiri daripada jemaah haji serta anak kapal termasuk juruterbang dan pramugari. Semua penumpang berjaya dipindahkan dengan selamat ke ruang menunggu antarabangsa Lapangan Terbang Kualanamu.

Pesawat tersebut sebelum ini berlepas dari Jeddah dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, namun mendarat di Kualanamu sekitar jam 10.55 pagi waktu Indonesia Barat (WIB).

Bagi tujuan keselamatan, pesawat telah diarahkan terus ke kawasan tepi landasan lapangan terbang.

“Usaha kawalan keselamatan masih sedang dijalankan. Perkembangan situasi dan maklumat akan dilaporkan secepat mungkin,” ujar Kombes Ferry Walintukan.

Ferry turut menjelaskan bahawa ancaman bom diterima oleh juruterbang semasa pesawat sudah berada di udara dari Jeddah menuju ke Jakarta.

Setakat ini, semua penumpang telah dipindahkan dalam keadaan selamat.

“Ya, penumpangnya adalah jemaah haji yang mahu pulang ke Jakarta,” tambah Ferry.

Pasukan penjinak bom Polis Daerah Sumatera Utara masih meneruskan proses pemeriksaan ke atas pesawat.

“Jadi penumpang telah diturunkan terlebih dahulu, pasukan dari Satbrimob Jibom Polda Sumut sedang menjalankan pemeriksaan ke atas pesawat,” jelas beliau.

Related Posts