Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang pesawah maut dalam keadaan tragis selepas dipercayai ditetak adik iparnya yang dikatakan mengalami halusinasi dalam kejadian di kawasan sawah Kampung Pida 3, Jerlun, awal pagi semalam.
Mangsa, Nasir Md Nayan, 45, ditemukan terlentang dalam sawah dengan kepalanya terputus kira-kira satu meter dari tubuh. Beberapa kesan tetakan turut ditemui pada badannya.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.05 malam sebelum suspek berusia 38 tahun berjaya ditahan kira-kira sejam kemudian ketika masih memegang parang sepanjang 30 sentimeter di rumahnya.
Suspek direman selama enam hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Baca juga:
- ‘Inspektor Sheila’ disiasat dakwa pertikai tindakan polis tahan warga Pakistan tiada lesen
- Kelantan dominasi sektor awam negara
- Suami maut kemalangan ketika patah balik ambil susu anak
Tunjuk tanda kemurungan, bercakap seorang diri
Isteri mangsa, Marliana Awang, 39, berkata adiknya itu pernah menunjukkan tanda kemurungan dan halusinasi sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, suspek pernah mendapatkan rawatan susulan di Hospital Alor Setar, namun tidak lagi hadir ke sesi rawatan dan enggan mengambil ubat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
“Mak ada ambilkan ubat, tapi dia tak makan. Dia selalu bercakap seorang diri dan kalau orang kampung datang rumah, dia masuk bilik. Dia tak duduk luar,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Marliana menyatakan suspek dikatakan terdengar suara seperti diejek dan merasakan suaminya memanggilnya sebelum kejadian.
Suami keluar cari kambing, isteri temui jasad di sawah


Marliana memaklumkan arwah suaminya keluar kira-kira jam 6.50 petang untuk mencari kambing peliharaan mereka yang belum dibawa pulang.
Tidak lama kemudian, penduduk kampung memberitahu berlaku pergaduhan di sawah berhampiran rumah ibunya, menyebabkan beliau bergegas ke lokasi.
“Sampai saja, saya lihat jasad suami terlentang dalam sawah. Saya pangku dan urut dada dia sambil jerit minta tolong,” katanya.
Mangsa meninggalkan dua anak lelaki berusia tujuh dan 12 tahun.
Masih selidik punca, tiada rekod jenayah
Polis mengesahkan mangsa dan suspek tidak mempunyai rekod jenayah serta bekerja sebagai pesawah. Motif kejadian masih dalam siasatan.
Mayat mangsa dihantar ke HSB untuk bedah siasat dan telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Babus Salam, Kampung Pida 3 malam tadi, disertai kira-kira 100 orang ahli keluarga dan penduduk.
Mohd Radzi menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan maklumat tidak sahih selagi siasatan belum selesai.
Sumber: Harian Metro (Zuliaty Zulkifli)








