Kerajaan belanja RM8.4 juta untuk bekal lencana Jalur Gemilang kepada 5 juta pelajar | The Reporter

Kerajaan belanja RM8.4 juta untuk bekal lencana Jalur Gemilang kepada 5 juta pelajar

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bercakap, dengan inset gambar lencana Jalur Gemilang dipasang pada pakaian sekolah.
KPM peruntuk RM8.4 juta untuk bekal dua lencana Jalur Gemilang percuma kepada 5.14 juta pelajar di seluruh negara.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Kerajaan membelanjakan RM8.4 juta bagi membekalkan dua lencana Jalur Gemilang secara percuma kepada 5.14 juta murid dan pelajar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Inisiatif ini merangkumi sekolah, Kolej Matrikulasi, Kolej Tingkatan 6 dan Institut Pendidikan Guru (IPG) sebagai usaha menyemai semangat patriotisme sejak di bangku sekolah.

Baca juga:

Agihan & perolehan

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, peruntukan telah disalurkan kepada semua jabatan pendidikan negeri (JPN) dan institusi terlibat pada Februari lalu, mengikut enrolmen pelajar. Proses perolehan dijalankan oleh JPN, pejabat pendidikan daerah (PPD) dan institusi berkaitan melalui sistem ePerolehan sama ada secara tender atau sebut harga, tertakluk kepada jumlah peruntukan.

Menurutnya, JPN turut diberi kebenaran melaksanakan perolehan mengikut zon bagi mempercepatkan penghantaran serta menggalakkan penyertaan pembekal tempatan.

Sebanyak 91 pembekal terlibat dalam penghasilan dan penghantaran lencana ke seluruh negara, dengan garis panduan pemakaian turut dikeluarkan KPM. Ibu bapa juga diberi kelonggaran menyediakan lencana tambahan bersaiz sama dengan material yang bersesuaian.

Patriotisme & pemantauan
Ilustrasi kedudukan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada baju seragam pelajar sekolah
Contoh pemakaian lencana Jalur Gemilang pada baju seragam seperti yang diarahkan oleh KPM.
Ilustrasi kedudukan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada baju kurung pelajar sekolah
Contoh pemakaian lencana Jalur Gemilang pada baju kurung pelajar perempuan seperti yang ditetapkan oleh KPM.

Menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS–Kuala Krai) di Parlimen, Fadhlina berkata, KPM akan memantau pemakaian lencana bagi mengelakkan risiko keselamatan murid atau kerosakan pakaian seragam.

Beliau menegaskan langkah ini selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013–2025 yang menekankan pembentukan jati diri dan nilai kenegaraan.

“Melalui pemakaian lencana ini, semangat patriotisme dapat dizahirkan dan diharap meningkatkan rasa cinta terhadap negara dalam jiwa generasi Madani,” katanya.

Sumber: Malaysia Gazette

Related Posts