Jabatan Peguam Negara hari ini mengeluarkan penjelasan lanjut berhubung keputusan untuk menuduh suspek-suspek yang terlibat dalam kes buli melibatkan arwah pelajar, Zara Qairina.
Menurut kenyataan itu, penjelasan berkenaan dibuat susulan kenyataan media bertarikh 19 Ogos 2025 yang dikeluarkan oleh peguam lantikan, Puan Noraida binti Lamat, ibu kepada arwah Zara Qairina, berhubung permohonan pihak peguam untuk menangguhkan pendakwaan di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan serta cadangan pertuduhan pihak peguam di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.
“Berdasarkan penelitian Jabatan ini terhadap kertas siasatan, pertuduhan di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dibuat kerana pertuduhan ini merujuk kepada perbuatan buli sahaja dan tidak mempunyai kaitan dengan kematian Zara Qairina,” jelas kenyataan itu.
Baca juga:
- Peniaga tau fu fah sumbang RM10,000 untuk tabung solidariti Najib Razak
- Polis nafi dakwaan MPV ‘escort’ kenderaan bawa kabel curi di Ampang
- Lelaki maut dipercayai diserang harimau di Sungai Siput
Jabatan tersebut turut menegaskan bahawa kenyataan peguam di perenggan keempat kenyataan media sebelum ini adalah bersifat spekulatif tanpa disokong oleh fakta yang tepat.
“Pertuduhan di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan di dalam kes ini adalah bersandarkan kepada bukti dan fakta yang diperoleh hasil daripada siasatan yang dijalankan,” tegas Jabatan Peguam Negara.
Kenyataan itu juga menambah bahawa prosiding inkues masih perlu dijalankan bagi menentukan punca kematian sebenar Zara Qairina.








