Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Mahkamah Sesyen Langkawi menjatuhkan hukuman denda RM10,000 terhadap seorang pemilik restoran yang pernah tular menjual menu ayam kunyit berharga RM20.
Peniaga berkenaan juga didapati gagal menyimpan rekod belian dan juga jualan dari Januari 2021 hingga 30 November 2023 seperti yang dikehendaki oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Tertuduh yang merupakan pemilik premis di Jalan Pantai Chenang, mengaku bersalah bagi pertuduhan itu di hadapan Hakim Allan Suman Pillai.
Mengikut fakta kes, premis tersebut yang dimiliki tertuduh menjual masakan ayam goreng kunyit RM20 kepada orang awam sebelum kejadian tersebut tular di media sosial selepas dimuat naik pengadu pada 14 Januari lalu.
Selepas siasatan dibuat, tertuduh gagal mematuhi arahan pihak berkuasa yang dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 untuk mengemukakan invois jualan dan belian produk.
Susulan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 53A(3) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, tular mengenai rungutan pengadu yang mendakwa harga ayam kunyit yang dijual di sebuah premis di Jalan Pantai Chenang mahal dan tidak sepadan dengan menu yang dijual.

Sumber: KPDN Laman Rasmi








