Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang wanita berusia 38 tahun diperintah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membayar ganti rugi RM200,000 kepada seorang suri rumah kerana meruntuhkan perkahwinan yang bertahan selama lima dekad.
Hakim Evrol Mariette Peters turut mengarahkan suami wanita itu, seorang lelaki berusia 74 tahun yang didapati melakukan hubungan luar nikah, untuk membayar nafkah sebanyak RM205,000 secara sekali gus kepada isterinya yang berusia 72 tahun.
Lelaki berkenaan bagaimanapun menafikan dakwaan curang dan mendakwa dirinya mengalami mati pucuk. Tetapi, hakim menolak alasan itu kerana tiada sebarang bukti perubatan dikemukakan untuk menyokong dakwaannya. Hakim turut mengarahkan harta perkahwinan pasangan itu dibahagikan sama rata.
Selain itu, suami yang dikenali sebagai PAI dan perempuan simpanannya, KAI, juga diperintahkan untuk membayar kos sebanyak RM100,000 kepada si isteri, HAI. Hakim Peters menegaskan, keterangan yang dikemukakan menunjukkan kewujudan hubungan sulit antara kedua-duanya, termasuk perkongsian kediaman, penginapan bersama di Singapura serta usaha mendapatkan anak melalui persenyawaan in vitro (IVF).
Mahkamah turut mengambil kira bukti e-mel antara pasangan itu yang menunjukkan perempuan simpanan tersebut mendesak lelaki berkenaan untuk menceraikan isterinya. Tindakan wanita itu jelas menggambarkan ketidaksensitifannya terhadap emosi isteri lelaki berkenaan, serta niatnya untuk menjalin hubungan kekal dengan suami orang.
Dalam keputusannya, Peters juga menegaskan beliau tidak akan menggunakan pendekatan feminis dalam pengagihan harta perkahwinan kerana ia boleh mewujudkan persepsi berat sebelah. Namun, beliau tetap memberikan separuh daripada nilai aset perkahwinan kepada isteri kerana pengorbanannya selama ini dalam membesarkan enam anak dan menyara tiga cucu, selain menjaga suami ketika dia sakit.
Sumber: Free Malaysia Today, Harian Metro