Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Tular gambar sekumpulan penyokong bola sepak Malaysia memegang bendera Singapura secara terbalik selepas perlawanan ASEAN Mitsubishi Electric Cup pada 20 Disember lalu. Insiden ini mencetuskan kemarahan netizen Singapura, terutama selepas gambar tersebut tersebar luas di media sosial.
Dalam gambar tersebut, kira-kira 30 hingga 40 orang dilihat memegang dua bendera Singapura secara terbalik. Sebahagian individu turut menunjukkan isyarat lucah ke arah kamera.
Sebuah sepanduk bertulis “Singapore” yang dipegang secara terbalik turut kelihatan, menunjukkan tindakan itu dilakukan dengan sengaja.
Dakwa bendera dicuri
Laman Facebook Hooligans Culture turut memuat naik gambar tersebut dengan kapsyen, “Bendera dicuri (dari) Singapura selepas perlawanan semalam”.
Bagaimanapun, kesahihan dakwaan bahawa bendera itu dicuri masih belum dapat dipastikan. Perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil berakhir dengan keputusan seri 0-0, menyaksikan Singapura mara ke separuh akhir manakala Malaysia tersingkir.
Netizen Singapura kecam gambar tular
Penyebaran gambar itu menerima kecaman keras daripada netizen Singapura. Mereka menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak menghormati simbol kebangsaan dan menyedihkan.
“Ini memalukan dan sama sekali tidak boleh diterima,” tulis seorang pengguna media sosial.
Ada juga yang menganggap tindakan itu sebagai luahan kekecewaan penyokong Malaysia selepas pasukan mereka gagal melangkah ke peringkat seterusnya dalam kejohanan tersebut.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa Malaysia atau Singapura berhubung insiden ini.
Sementara itu, Singapura akan bertemu Vietnam di separuh akhir yang dijadualkan berlangsung di Stadium Jalan Besar pada 26 Disember ini. – Agensi








