Penyanyi Nidza hilang, kali terakhir dilihat di Jambatan Klang | The Reporter

Penyanyi Nidza hilang, kali terakhir dilihat di Jambatan Klang

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Penyanyi muda, Nidza Afham, 23, dilaporkan hilang selepas keluar jogging di Stadium Klang, Selangor, sekitar jam 11.53 malam semalam.

Nidza, yang juga abang kepada penyanyi Aufahanie, pernah menyertai rancangan realiti “I Can See Your Voice 3” dan melancarkan single berjudul “Ternyata Bukan Aku”.

Menurut kakaknya, Nur Irfahanie, 30, dompet dan telefon bimbit Nidza ditemui di Jambatan Sungai Klang.

“Dia keluar rumah pada jam 7.54 petang dengan menaiki e-hailing ke Stadium Klang. Individu terakhir yang dia mesej ialah teman wanitanya, Miera, pada jam 9.04 malam. Selepas itu, dia tidak lagi membalas mesej atau menjawab panggilan,” katanya.

Miera memaklumkan, lokasi terakhir Nidza adalah di Jambatan Klang. Selepas sejam, lokasi tersebut tidak berubah, menyebabkan keluarga Nidza segera ke sana dan menemui telefon dan dompet Nidza dalam keadaan baik, namun kad ATM dan wang tunai hilang. Keluarga Nidza kemudian membuat laporan di Balai Polis Klang Selatan pada jam 4 pagi.

Menurut Nur Irfahanie, tiada sebarang perkara mencurigakan dalam mesej yang dibaca dalam telefon Nidza. Malah tiada perkara pelik berlaku dan Nidza juga tidak mempunyai masalah kewangan.

Dalam perkembangan terkini, JBPM Selangor mengesahkan penemuan satu mayat lelaki dewasa di sekitar Jambatan Sungai Klang.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, mayat lelaki tersebut memakai pakaian berwarna gelap bernombor 56.

Ditanya sama ada mayat yang ditemui itu adalah mayat Nidza, beliau menyerahkan perkara itu kepada pihak polis.

Sumber: Harian Metro, Buletin TV3

Related Posts