Penyanyi dikir barat Malaysia, 5 individu lain didakwa di Mahkamah Wilayah Narathiwat | The Reporter

Penyanyi dikir barat Malaysia, 5 individu lain didakwa di Mahkamah Wilayah Narathiwat

Sumber Gambar: Sinar Harian

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Penyanyi dikir barat warga Malaysia yang dikenali sebagai Eda Ezrin bersama lima individu lain telah dihadapkan ke mahkamah Narathiwat atas tuduhan memiliki 6,059 pil Yaba serta penggunaan dadah yang didakwa dilakukan di bandar Sungai Golok, Thailand, pada 1 November lalu.

Eda Ezrin yang terkenal dengan lagu Bae Soba Bae, bersama lima lagi tertuduh iaitu suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35; Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; Erdeka Mohd Noor, 33; dan Zuhaira Nasrin, 26, telah didakwa di Mahkamah Daerah.

Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki pil Yaba tersebut, namun mereka mengaku bersalah atas tuduhan penggunaan dadah.

Keenam-enam tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di bandar Sungai Golok sekitar jam 5 pagi (waktu Thailand) pada 1 November lalu.

Selain itu, Zuhaira Nasrin dan Erdeka Mohd Noor turut didakwa atas kesalahan memasuki Thailand tanpa dokumen perjalanan yang sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

Kesemua tertuduh diwakili oleh tiga peguam, termasuk seorang peguam yang disediakan oleh kerajaan Thailand. Dalam prosiding tersebut, hakim melalui jurubahasa meminta keenam-enam tertuduh yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki dadah untuk mencari bukti dan saksi bagi menyokong pembelaan mereka.

“Kes ini melibatkan kepentingan awam di Malaysia dan Thailand. Oleh itu, saya mahu memastikan kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” kata hakim.

Menurut hakim, biasanya kes seperti ini mengambil masa sekitar enam bulan untuk diselesaikan, namun beliau berjanji akan memberikan keputusan selewat-lewatnya awal Mac depan.

Hakim turut memberikan peluang kepada tertuduh untuk memberikan kenyataan berhubung kes ini, tetapi semuanya hanya menundukkan kepala tanpa berkata apa-apa.

Hakim menetapkan 11, 13, dan 14 Februari sebagai tarikh untuk tertuduh mengemukakan saksi dan bukti bagi pembelaan mereka.

Sementara itu, hampir 50 ahli keluarga tertuduh dilaporkan berkumpul di luar mahkamah untuk mengikuti perbicaraan dan memberikan sokongan moral kepada mereka.

Sumber: Berita Harian

Related Posts