Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang penunggang motosikal berusia 27 tahun cedera di bahagian leher selepas terlanggar tali layang-layang di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dari arah Batu Caves menghala ke Sri Damansara, berhampiran Taman Tasik Metropolitan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa memaklumkan bahawa mangsa tidak menyedari kehadiran tali layang-layang yang merentang di laluan tersebut sebelum terkena pada bahagian badan dan lehernya.
“Tali tersebut dipercayai tersangkut pada badan serta leher mangsa sebelum terputus. Mangsa kemudian berhenti di tepi jalan sebelum mendapati lehernya mengalami kecederaan akibat kejadian,” katanya.
Tambah beliau, mangsa tidak terjatuh daripada motosikal dan kemudiannya mendapatkan rawatan di sebuah poliklinik di Selayang.
Sementara itu, menerusi sebuah video yang tular di media sosial, mangsa memaklumkan bahawa kejadian tersebut mungkin menjadi lebih parah sekiranya beliau tidak memakai penutup leher (neck gaiter) ketika itu.
Baca sini:
- Dituduh ‘cekik darah’ caj RM30 baiki kalkulator, lelaki tampil beri penjelasan
- MCMC buka siasatan, individu disyaki sebar kandungan palsu terhadap SPRM
- Isu fitnah: MP Jasin, Harakah mohon maaf kepada Fadhlina
Bagaimanapun, baju dan beg yang disandang mangsa dilaporkan koyak akibat terkena tali layang-layang tersebut.
Dalam video tersebut, mangsa turut merayu agar pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi mengelakkan kejadian seumpama itu daripada berulang.
“Mohon pihak berkuasa atau mana-mana pihak terlibat ambil tindakan segera. Layang-layang terputus sampai ke jalan besar,” katanya.
Susulan itu, Mohd Zamzuri menasihati orang ramai agar tidak menerbangkan layang-layang berhampiran lebuh raya atau jalan utama kerana perbuatan tersebut boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya.
Sumber: Sinar Harian, Asal Gombak








