Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menggesa polis menjalankan siasatan segera terhadap ugutan dan ancaman di media sosial yang menghasut pengguna jalan raya agar melanggar penunggang basikal secara sengaja.
Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill menegaskan, tindakan sedemikian bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah boleh diklasifikasikan sebagai ugutan jenayah yang mengancam nyawa pengguna jalan raya.
Menurutnya, penunggang basikal adalah sebahagian daripada kumpulan sah pengguna jalan raya yang dilindungi oleh undang-undang. Sebarang perbuatan melanggar mereka dengan sengaja boleh disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Baca juga:
- Pekerja ditahan, didakwa bakar gudang di Ontario, California
- Rafizi Ramli desak keputusan segera, sedia dipecat jika langgar perlembagaan parti
- ‘Kesilapan saya sebab terlalu percayakan orang’ – Azar Azmi
Penunggang basikal ada hak sah di jalan raya
Amarjit berkata, insiden pertelingkahan antara beberapa penunggang basikal dan seorang pemandu bas yang tular baru-baru ini turut diberi perhatian serius oleh pihaknya. PKBM menjelaskan, berbasikal di jalan raya awam adalah dibenarkan kecuali terdapat larangan bertulis seperti pewartaan atau papan tanda tertentu.
PKBM juga menasihatkan semua pihak agar bertenang dan tidak bertindak melulu di luar batas undang-undang. Dalam masa yang sama, penunggang basikal diingatkan agar mematuhi peraturan lalu lintas termasuk memakai topi keledar, menggunakan lampu hadapan dan belakang, memakai pakaian berwarna terang dan berkayuh secara satu barisan di laluan yang sesuai.
Keselamatan penunggang jadi keutamaan PKBM
Tambah Amarjit, pendekatan berwaspada perlu diamalkan terutama di laluan yang sering digunakan oleh kenderaan berat. Beliau turut mengingatkan penunggang agar tidak bersikap agresif dan sentiasa bertimbang rasa terhadap pengguna jalan raya lain.
Terdahulu, tular satu video menunjukkan sekumpulan penunggang basikal bertengkar dengan seorang pemandu bas di Kuala Selangor, sebelum dileraikan oleh anggota JPJ yang kebetulan lalu di situ. Polis telah menerima dua laporan berhubung kejadian itu, masing-masing daripada pemandu bas dan seorang penunggang basikal.
Sumber: Bernama










