Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• Penumpang dakwa sistem pesawat tidak berfungsi dalam penerbangan sebelum nahas
• Pesawat terhempas selepas berlepas dari Ahmedabad, 241 penumpang dilaporkan maut
• Siasatan tertumpu kepada kemungkinan pelanggaran dengan burung dan kegagalan enjin
Seorang penumpang Air India mendakwa sistem dalam pesawat yang sama digunakan untuk penerbangan ke London telah rosak ketika dia menaikinya beberapa jam sebelum nahas yang meragut 241 nyawa.
Penumpang bernama Akash Vatsa memuat naik video ke platform X, mendakwa penghawa dingin, skrin hiburan, butang panggil kru kabin dan lampu pesawat langsung tidak berfungsi semasa penerbangannya dari Delhi ke Ahmedabad.
“Penyejuk udara langsung tidak berfungsi. Seperti biasa, skrin TV mereka juga tak berfungsi dan butang panggil kru pun sama. Tak ada satu pun yang berfungsi, malah lampu pun tak menyala,” katanya dalam rakaman video.
Masalah teknikal sudah wujud lebih awal?
Menurut Vatsa, dia pada asalnya merakam video itu untuk membuat aduan kepada pihak Air India. Namun selepas mendapat tahu pesawat yang sama terlibat dalam nahas, dia berkongsi video itu secara terbuka sebagai peringatan tentang isu keselamatan.
Katanya kepada NDTV, pesawat itu mengalami pertukaran nombor penerbangan, menyebabkan penumpang ke London perlu turun dahulu sebelum menaikinya semula dari pintu berlepas lain.
Pesawat jenis Boeing 787 Dreamliner dengan nombor pendaftaran VT-ANB itu berlepas ke Lapangan Terbang Gatwick, London pada jam 1.40 petang waktu tempatan sebelum terhempas hanya beberapa minit selepas berlepas. Ia menjunam ke kawasan kediaman dan meletup.
Data penerbangan menunjukkan pesawat itu sempat mencapai kelajuan berlepas, tetapi gagal untuk mencapai ketinggian stabil. Pakar percaya ia mungkin berpunca daripada kegagalan enjin atau kehilangan daya angkat.
Kapten Saurabh Bhatnagar, bekas juruterbang kanan, berkata rakaman yang tular menunjukkan pesawat seperti mengalami “pelanggaran dengan burung” sehingga menyebabkan kedua-dua enjin tidak berfungsi.
“Pelepasan pesawat itu sempurna, tapi sebaik sahaja, saya percaya sebelum gear ditarik masuk, ia mula jatuh. Keadaan ini biasanya berlaku jika enjin kehilangan kuasa atau daya angkat gagal dijana,” jelasnya.
Siasatan masih dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Pesawat India dengan bantuan pakar keselamatan dan Boeing. Ini merupakan kejadian pertama melibatkan kemalangan maut bagi pesawat Boeing 787 Dreamliner. – Agensi








