Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang penumpang yang tiba di sebuah lapangan terbang antarabangsa di India dari Kuala Lumpur pada Isnin lalu ditahan selepas didapati menyeludup dua ekor biawak monitor eksotik yang disembunyikan di dalam bagasi berdaftar.
Pihak berkuasa India dalam kenyataan memaklumkan, mulut dan kaki haiwan tersebut telah diikat ketat menggunakan pita pelekat sebelum dibungkus dengan kain hitam. Reptilia itu ditemui dalam keadaan menyayat hati sewaktu pemeriksaan rutin dijalankan.
Penemuan itu sekali lagi membangkitkan kebimbangan mengenai penyeludupan hidupan liar merentasi sempadan Asia Tenggara, termasuk Malaysia yang sering menjadi transit atau titik asal dalam sindiket perdagangan haiwan eksotik.
Agensi Malaysia tampil beri kerjasama
Susulan penahanan itu, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa India dalam siasatan lanjut. Dalam masa yang sama, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) turut memaklumkan bahawa pihaknya akan terus berhubung rapat dengan agensi berkaitan melalui saluran Interpol bagi mendapatkan maklumat lebih terperinci.
Menurut PERHILITAN, kes sebegini membuktikan bahawa sindiket penyeludupan hidupan liar masih aktif dan semakin licik dalam menyeludup spesies yang dilindungi keluar dari negara ini.
Isu lama tetapi kawalan masih longgar?
Insiden ini turut menimbulkan persoalan terhadap kecekapan kawalan di pintu keluar masuk negara, terutamanya di lapangan terbang utama. Bagaimana haiwan sebesar biawak monitor boleh melepasi sistem pengimbasan di Malaysia, sedangkan ia berjaya dikesan hanya apabila tiba di destinasi luar negara?
Pakar pemuliharaan dan aktivis alam sekitar sejak sekian lama telah mendesak pihak berwajib memperketatkan lagi penguatkuasaan di pintu keluar masuk serta mempertingkatkan latihan pegawai penguatkuasa agar lebih peka terhadap taktik penyeludupan baharu.
Kes ini menambahkan lagi senarai panjang kejadian yang menunjukkan Malaysia masih belum bebas daripada menjadi ‘lubuk transit’ penyeludupan spesies terancam.
Masyarakat awam dan NGO pemuliharaan berharap agar tindakan segera dan telus diambil dalam menangani kelemahan sedia ada. Selain kerjasama rentas negara, langkah pencegahan dalam negara juga perlu diperkasa agar reputasi Malaysia dalam pemuliharaan hidupan liar tidak terus tercalar di mata dunia.
Sumber: MalaysiaKini








