Penolong Pegawai Tadbir didakwa pecah amanah RM327,844 untuk kegunaan sendiri - The Reporter

Penolong Pegawai Tadbir didakwa pecah amanah RM327,844 untuk kegunaan sendiri

Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.


Seorang kerani menitiskan air mata ketika menghadapi sembilan pertuduhan pecah amanah yang membabitkan nilai RM327,844.50 di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, semalam, lapor Harian Metro

Tertuduh, Nada Aimi A Rahman, 34, yang juga bekas penolong tadbir di pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu. 
Berdasarkan pertuduhan pertama hingga enam, Nada didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang tunai RM308,987 yang diamanahkan kepadanya melalui enam transaksi untuk kegunaan sendiri pada 2015 hingga 2018 di Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ). 
Semua pertuduhan itu bersabit Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan, dan denda. 
Namun, Nada mengaku tidak bersalah di depan Hakim Norma Ismail. 
Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos, mencadangkan jaminan RM60,000. Nada yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan itu dikurangkan kerana dia tidak bekerja selain keluarganya tidak mampu membayar jaminan tinggi. 
Hakim kemudian menawarkan jaminan RM15,000 bagi semua pertuduhan. 
Sementara itu dalam prosiding berasingan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Wai Yi di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan, tertuduh berdepan tiga pertuduhan mengikut seksyen sama. 
Nada didakwa melakukan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM18,857.50 di lokasi yang sama pada 2017 hingga tahun lalu. 
Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Lee mencadangkan jaminan RM30,000, tetapi mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penajmin. 
Mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 22 April depan.



Sumber: Harian Metro
Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!