Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang peniaga jagung bakar di Kota Warisan, Sepang, didenda RM400 oleh Mahkamah Majistret Sepang selepas mengaku bersalah meletakkan notis berbaur perkauman di gerai jualannya.
Isterinya, warga Indonesia, pula dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Artikel berkaitan:
Pasangan suami isteri berusia 64 dan 52 tahun itu ditahan pada 17 Februari lalu di Jalan Labuhan Dagang-Nilai, Sepang, selepas video kejadian tersebut tular di media sosial sehari sebelumnya.
Perbuatan itu mencetuskan perasaan tidak puas hati dalam kalangan netizen yang menyifatkannya sebagai tindakan yang tidak wajar dalam masyarakat majmuk.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan G K Shan Gopal berkata, peniaga itu didakwa di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 268 Kanun Keseksaan, manakala isterinya didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan sah dan dihukum penjara tiga bulan selepas mengaku bersalah.
Susulan kes ini, Superintendan G K Shan Gopal mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dalam menjaga hubungan antara kaum dan mengelakkan sebarang tindakan provokasi yang boleh menyentuh sensitiviti perkauman dan agama.
Beliau turut menegaskan bahawa pihak polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan ketegangan kaum dalam masyarakat majmuk di Malaysia.
Sumber: Harian Metro