Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang pembantu tadbir kanan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Yusliza Othman@Yusof, 51, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas enam pertuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat pembekalan.
Yusliza didakwa menerima suapan berupa bayaran ansuran sewa beli kenderaan jenis Honda Stream bernilai RM90,000 bermula 2017 hingga 2022.
Bayaran ansuran tersebut berjumlah RM1,068 sebulan, dibiayai oleh syarikat pembekal yang mana kereta tersebut digunakan sepenuhnya oleh Yusliza.
Suapan ini didakwa sebagai balasan untuk memudahkan syarikat berkenaan memperoleh kerja-kerja pembekalan di MPK.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mariah Omar dan Pegawai Pendakwa SPRM Nur Raihan Mohd Yusof. Yusliza diwakili oleh peguam Abdul Hayyi Salim.
Mariah mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan Yusliza tidak mengganggu saksi dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.
Bagaimanapun, Abdul Hayyi memohon jaminan rendah dengan alasan Yusliza merupakan bapa tunggal kepada dua anak yang masih belajar, selepas isterinya meninggal dunia pada Oktober 2022 akibat kegagalan buah pinggang.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin dan melarang Yusliza mengganggu saksi pendakwaan. Yusliza juga perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah serta melapor diri di pejabat SPRM terdekat, sebelum 7 hari bulan setiap bulan sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 3 April untuk serahan dokumen kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan.
Sumber: Bernama








