'Penjaga kawasan' sempat WhatApp PATI untuk lari sebelum diserbu Imigresen - The Reporter

‘Penjaga kawasan’ sempat WhatApp PATI untuk lari sebelum diserbu Imigresen

Kredit foto: Sinar Harian

Operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sekitar Kajang, Cyberjaya dan Bandar Baru Bangi pada Isnin lalu telah membongkar seorang ‘penjaga kawasan’ di dalam group WhatsApp komuniti bertindak memberi amaran kepada pendatang tanpa izin (PATI) mengenai serbuan yang akan dilakukan.

Perkara itu diketahui selepas seorang lelaki warga Indonesia cuba memadam mesej amaran tersebut sebelum disedari anggota operasi yang bertindak memeriksa telefon bimbitnya.

Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati mesej tersebut dihantar oleh seorang warga tempatan yang memberi amaran kepada PATI untuk segera beredar sebelum serbuan dilakukan.

Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, operasi yang bermula pada jam 2 petang itu melibatkan pemeriksaan di 36 premis dan kawasan sekeliling, dengan 34 PATI termasuk lima wanita ditahan daripada 166 orang yang diperiksa.

PATI yang ditahan terdiri daripada 12 warga Indonesia, 16 warga Bangladesh, tiga warga Myanmar, dua warga Nepal dan seorang warga India. Kebanyakan mereka bekerja di restoran dan kedai runcit.

Antara kesalahan yang dikesan termasuk masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit sah serta melanggar syarat pas.

Kesemua PATI yang berusia antara 20 hingga 40 tahun itu telah dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Sumber: Sinar Harian

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Content is protected !!