Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang peniaga pisang goreng kelihatan sebak ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas dakwaan melakukan khianat dengan api terhadap sebuah motosikal di Pokok Assam, minggu lalu.
Tertuduh, Zainatul Rafeda Zainul Abidin, 43, mengaku bersalah di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim, yang menetapkan 14 Januari depan sebagai tarikh untuk menjatuhkan hukuman selepas fakta kes dikemukakan.
Tertuduh yang dilihat tidak dapat menahan emosi sejak dibawa dari lokap ke kamar mahkamah, kelihatan sebak sekali lagi ketika berdiri di kandang tertuduh untuk membuat pengakuan. Keadaan ini turut menyentuh perasaan beberapa ahli keluarganya yang hadir dalam prosiding tersebut.
Kesalahan itu dilakukan pada jam 3.50 petang, 26 Disember lalu, di Jalan Masjid, Pokok Assam. Perbuatannya didakwa di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fahmi Kamaluddin menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin, beserta syarat agar tertuduh tidak mengganggu atau menghubungi mangsa yang juga pengadu kes tersebut. Bagaimanapun, hakim menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin serta syarat sama seperti dicadangkan oleh pihak pendakwaan.
Terdahulu, tertuduh membakar motosikal tersebut kerana rasa tidak puas hati apabila kenderaan itu hendak ditarik oleh seorang penarik kenderaan. Motosikal jenis Honda RSX bernilai RM7,000 itu dikatakan telah tertunggak bayaran selama lebih 20 bulan dan didaftarkan atas nama anaknya.
Sumber: Harian Metro








