Influencer media sosial semakin popular dalam dunia pemasaran dan iklan. Namun, terdapat beberapa kes di mana sesetengah influencer mengambil kesempatan terhadap peniaga yang pernah menggunakan khidmat mereka.
Salah satu contoh yang menarik adalah pengalaman seorang peniaga yang meluahkan perasaannya mengenai isu ini.
Influencer bawa keluarga datang makan secara percuma
Seorang pengguna Thread, Reziez, berkongsi cerita mengenai pengalaman rakannya yang mengadu dianiaya oleh influencer.
“Tadi kawan (beniaga kedai makan) meluah perasaan. Selepas settle job, influencer ini datang berkali-kali ke kedai dia untuk makan.
“Ada masa, dia siap bawa tiga keluarga lagi. Tapi datang makan secara percuma saja. Ada bill sampai cecah RM400-RM500.
Menurut Reziez, influencer berkenaan tidak sepatutnya makan secara percuma kerana kerjasama dengan peniaga sudah selesai. Dia yang datang membawa keluarga sepatutnya membayar hidangan yang dipesan.
“Sepatutnya, selepas habis job, habislah ye. Payment pun dah cun (dah bayar habis) makan pun makan (diberi). Lepas daripada tu, janganlah datang makan free dan buat macam kedai sendiri pulak ye,” katanya.
Pemilik Restoran Samurai Yakiniku turut berkongsi pengalaman sama
Rentetan daripada perkongsian Reziez itu, pemilik restoran Samurai Yakiniku, Asraff Jeffrey, mengakui pernah melakukan kesilapan yang sama.
Pada satu masa dahulu, dia menawarkan influencer datang dengan keluarga selepas menyelesaikan kerja pertama. Influencer tersebut datang dengan keluarga untuk kali kedua tanpa masalah. Namun, masalah timbul apabila influencer berkenaan ingin datang buat kali ketiga.
“Kali ketiga dia ingin datang lagi tapi masalah kali ini, dia telefon, “Bro, saya on the way nak pergi makan. Sediakan dua meja ya.”
“Kebetulan Samurai Yakiniku Bangi penuh. Jadi, kami pun beritahu tidak boleh nak penuhi kehendak dia. Yang menarik, dia marah kami balik yang mana kami pun tidak sangka perangainya sebegitu.
“Saya 99% yakin anda kenal Influencer ini. Mukanya ada di mana-mana. Banyak syarikat guna dia untuk iklan,” katanya.
Justeru, Asraff menasihatkan kepada mana-mana peniaga yang ingin bekerjasama dengan influencer, jangan membabitkan emosi. Sekiranya berpuas hati dengan hasil kerja mereka, cukuplah kerjasama terhenti di situ dan usah menawarkan perkhidmatan yang lain seperti yang dipersetujui pada awal perjanjian.
“Saya sudah pernah buat silap. Jadi, janganlah anda mengulangi kesilapan saya,” ujarnya.