Penggunaan telefon bimbit tidak meningkatkan risiko kanser otak - Kajian WHO - The Reporter

Penggunaan telefon bimbit tidak meningkatkan risiko kanser otak – Kajian WHO

Foto hiasan sahaja

Kajian terbaru yang dibiayai oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan bahawa penggunaan telefon bimbit tidak meningkatkan risiko kanser otak.

Walaupun kita semakin banyak menggunakan teknologi tanpa wayar, seperti telefon bimbit, tetapi tiada peningkatan yang besar dalam kes kanser otak.

Kajian ini melibatkan penganalisisan terakhir terhadap 63 kajian yang dilakukan antara tahun 1994 hingga 2022. Ia dinilai oleh 11 penyiasat dari 10 negara, termasuk pihak berkuasa perlindungan radiasi kerajaan Australia.

Kajian ini menilai kesan radiofrekuensi yang digunakan dalam telefon bimbit serta televisyen, pemantau bayi dan radar.

Profesor epidemiologi kanser, Mark Elwood dari Universiti Auckland, New Zealand, menyatakan bahawa “tiada soalan utama yang dikaji menunjukkan risiko yang meningkat.”

Kajian ini melibatkan kanser otak pada orang dewasa dan kanak-kanak, serta kanser kelenjar pituitari, kelenjar saliva dan leukemia, serta risiko yang berkaitan dengan penggunaan telefon bimbit, stesen pangkalan atau pemancar, serta pendedahan pekerjaan.

WHO dan badan kesihatan antarabangsa lain sebelum ini telah menyatakan bahawa tiada bukti ketara mengenai kesan kesihatan yang membahayakan daripada radiasi yang digunakan oleh telefon bimbit. Namun, mereka menggesa agar lebih banyak penyelidikan dijalankan.

Pada masa ini, radiasi telefon bimbit dikelaskan sebagai “mungkin karsinogenik” (mungkin menyebabkan kanser) atau kelas 2B oleh Agensi Antarabangsa untuk Penyelidikan Kanser (IARC). Kategori yang digunakan apabila agensi tidak dapat menolak kemungkinan hubungan dengan kanser.

Kumpulan penasihat IARC menyarankan agar klasifikasi ini dinilai semula dengan segera berdasarkan data terkini sejak penilaian terakhir pada tahun 2011. – Agensi

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Content is protected !!