Pengguna terkejut secawan air RM10, bihun sup RM20 di bazar Jalan TAR | The Reporter

Pengguna terkejut secawan air RM10, bihun sup RM20 di bazar Jalan TAR

Air dan bihun sup dijual dengan harga mahal di bazar Ramadan Jalan TAR.
Video yang tular di media sosial

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Bazar Ramadan sering menjadi tumpuan orang ramai untuk menikmati pelbagai juadah berbuka puasa dengan harga yang berpatutan. Namun, ada segelintir peniaga yang didakwa mengambil kesempatan dengan meletakkan harga yang tidak munasabah, mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pelanggan.

Seorang wanita, MokWe, meluahkan rasa terkejut di TikTok selepas dikenakan caj RM10 bagi secawan (plastik) air minuman di Bazar Raya, Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR).

https://www.tiktok.com/@mok.we60/video/7481679337301871880

Menurutnya, dia bertanya harga sebelum membeli, tetapi peniaga enggan menjawab dan terus menuang air ke dalam cawan sebelum meminta bayaran RM10.

“Tak payahlah beli air di Bazar Raya TAR. RM10 untuk satu cup. Sebelum beli kita tanya harga, dia tak nak jawab. Dia terus masukkan air dalam cup dan minta bayaran RM10. Gila peniaga macam ni. Hati-hatilah kepada sesiapa yang nak membeli air di bazar ini, cekik darah,” katanya.

Netizen menasihatinya bahawa pelanggan berhak menolak pembelian jika tidak bersetuju dengan harga. Namun, MokWe menjelaskan dia bimbang berlaku kejadian tidak diingini kerana suasana di bazar yang sesak.

“Tempat orang ramai, kita ni perempuan. Memang terkejut dan terpaksa bayar. Kalau kita beredar terus, risau berlaku pergaduhan pula nanti,” jelasnya.

MokWe memaklumkan lokasi gerai yang menjual air RM10 itu dipercayai terletak di hadapan kedai Baju Melayu dengan papan tanda merah. Bagaimanapun, dia tidak pasti sama ada peniaga itu berada di lokasi tetap atau sering berpindah-randah.

Rata-rata netizen mengakui harga minuman di bazar itu terlalu mahal berbanding kebiasaan.

“Memang mahal, air limau nipis pun RM10. Kalau mangga float RM10 tak apalah juga. Sewa tapak dah murah, RM500. Kalau jual dengan harga RM5, orang boleh terima lagi. Ini RM10, memang melampau,” kata Rahim.

Selain harga air yang mahal, beberapa netizen turut berkongsi pengalaman serupa mengenai makanan lain di bazar tersebut. Seorang pengguna, Dania, menyatakan dia dikenakan caj RM18 untuk bihun sup, manakala seorang lagi netizen, Dhiaa, mendakwa membayar RM20 untuk menu yang sama.

Mengikut laporan sebelum ini, kadar sewa tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri di lokasi tertentu adalah sekitar RM500 hingga RM2,000, bergantung kepada kawasan dan kemudahan yang disediakan penganjur.

Related Posts