'Lu siapa? Itu sangkaan jahat YB' - Pengarah Urusan Mydin Bidas MP DAP | The Reporter

‘Lu siapa? Itu sangkaan jahat YB’ – Pengarah Urusan Mydin Bidas MP DAP

Pengarah Urusan Mydin bidas MP DAP, sangkaan jahat isu SARA
Pengarah Urusan Mydin bidas MP DAP, sifatkan dakwaan berkaitan SARA sebagai sangkaan jahat.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin, membidas tanggapan yang dilemparkan oleh seorang pemimpin DAP terhadap syarikat itu berkaitan pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), dengan menyifatkannya sebagai satu sangkaan jahat.

Menerusi satu video penjelasan yang dimuat naik di TikTok Mydin, Ameer Ali berkata bantuan SARA merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu rakyat dan pada masa sama memberi kesan positif kepada sektor perniagaan, namun ia tidak wajar dijadikan alasan untuk menuduh mana-mana pihak mengaut keuntungan berlebihan.

“Terima kasih tengok TikTok Mydin. Alhamdulillah, terima kasih dekat Kerajaan Madani bantu rakyat dengan bantuan SARA. Peniaga juga turut menerima impak positif.

“Tapi Yang Berhormat (YB) kata kita happy banyak untung, menari-menari. Itu sangkaan jahat YB. Saya sendiri sering cakap kerajaan perlu tolong peniaga kecil. Kalau tak bagi Mydin, bagi peniaga kecil pun tak mengapa.

“Kalau YB nak tahulah, siapa peniaga terbesar menerima manfaat SARA ini, mungkin YB patut sebut syarikat itu dalam Parlimen. Sebut-sebut Mydin saja, buat apa?” katanya.

Ameer Ali menegaskan bahawa bantuan kerajaan seharusnya dilihat sebagai usaha membantu rakyat dan sebarang kesan kepada peniaga tidak wajar dijadikan asas untuk melabelkan sesuatu pihak secara negatif.

Baca juga:

Menari di TikTok

Terdahulu, Pengerusi DAP Melaka merangkap Ahli Parlimen (MP) Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, dipetik dalam video berkenaan mengaitkan pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan keuntungan perniagaan Mydin.

“Hari ini tauke besar Mydin, dia begitu gembira sekali sebab dengan adanya Sumbangan Asas Rahmah (SARA), semua penerima SARA pergi ke sana membeli barangan. Dia (penerima) dapat RM100, tetapi dia akan beli lebih dari RM100 di pasar raya Mydin.

“Tauke Mydin begitu gembira sekali sehingga dia boleh buat video menari di TikTok, sebab bisnes dia bagus,” katanya.

Di ruangan komen video tersebut, majoriti netizen dilihat mempertahankan Mydin dan menyifatkan kenyataan terhadap syarikat itu sebagai tidak adil. Sebahagian mempersoalkan mengapa hanya Mydin disebut sedangkan pasar raya lain juga menerima kehadiran penerima SARA.

Tidak kurang juga yang menyuarakan sokongan terbuka dengan menggesa orang ramai terus berbelanja di Mydin, selain menganggap isu tersebut sebagai satu sangkaan jahat yang tidak wajar dilemparkan kepada peniaga.

Related Posts