Penganjur mohon maaf, jelaskan isu bendera Israel hanya gimik persembahan | The Reporter

Penganjur mohon maaf, jelaskan isu bendera Israel hanya gimik persembahan

Bot dengan beberapa bendera Israel dikibarkan di atas air semasa persembahan gimik Program Solidariti Gaza di Kelantan.
Bendera Israel dikibarkan di atas bot semasa persembahan gimik Program Solidariti Gaza, yang kemudian menimbulkan kekeliruan awam. | Gambar tular di media sosial

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pertubuhan Anak Muda Bangkit Malaysia tampil menjelaskan kekeliruan dan memohon maaf selepas insiden pengibaran bendera Israel dalam Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza di Lembah Sireh, Jumaat lalu, menimbulkan pelbagai reaksi awam.

Pengarah program, Mohd Khairul Hafiz Hassan, menjelaskan bendera Israel itu dikibarkan semasa simulasi serangan terhadap sukarelawan Global Sumud Flotila, bertujuan memberi gambaran jelas kepada penonton mengenai kekejaman rejim Zionis.

Katanya, tiada sebarang niat untuk mengagungkan Israel, malah bendera itu dipijak selepas lakonan tamat sebagai simbol kemarahan terhadap tindakan rejim tersebut.

“Saya mohon maaf sekiranya ada pihak yang tersinggung atau salah faham dengan persembahan itu. Sebagai penganjur, saya bertanggungjawab penuh dan akan memberi kerjasama kepada pihak polis,” katanya menerusi TikTok.

Baca juga:

Beliau turut menegaskan program berkenaan dijalankan tanpa sebarang pembiayaan daripada kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan atau mana-mana parti politik, sebaliknya hasil sumbangan orang awam serta syarikat korporat.

Menurut Khairul Hafiz, program yang disertai hampir 10,000 peserta dengan 1,000 bot itu merupakan usaha memperkukuh semangat solidariti rakyat Kelantan terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Beliau berharap masyarakat memahami konteks sebenar persembahan tersebut dan tidak memperbesarkan isu bendera itu, sebaliknya memberi tumpuan kepada mesej kemanusiaan yang ingin disampaikan.

Disiasat di bawah Akta Lambang Kebangsaan

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusuff Mamat, memaklumkan siasatan akan dijalankan berhubung pengibaran bendera Israel tersebut mengikut Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949.

Beliau berkata, pihak polis akan memanggil penganjur untuk diambil keterangan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

Sumber: Harian Metro

Related Posts