Penyanyi dan pelakon, Alif Satar menarik perhatian ramai selepas meluahkan rasa kecewa terhadap isu hidangan minuman beralkohol dalam sebuah majlis rasmi kerajaan baru-baru ini.
Dalam hantaran ringkas di media sosial, Alif atau nama penuhnya Muhammad Alif Mohd Satar berkata beliau memilih untuk kekal bersabar dan menzahirkan pendiriannya menerusi peti undi pada pilihan raya akan datang.
“Nak marah tapi kena sabar. Kita guna hak sebagai rakyat Malaysia nanti. Tak sabar nak keluar mengundi,” tulisnya.
Kenyataan itu mendapat pelbagai reaksi netizen yang menganggap Alif menegur dengan cara berhemah dan memberi mesej jelas tentang kuasa rakyat melalui undi.


Baca juga:
- Bekas peserta progam realiti dipenjara 10 hari, gagal bayar RM108,200
- Jururawat dedah Azhan Rani konsisten derma darah setiap dua minggu
- Pelakon wanita mengaku tak bersalah kes tuntutan palsu insentif PERKESO
Minggu lalu, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menasihatkan agar isu hidangan arak dalam majlis berkenaan tidak diperbesarkan.
Beliau menjelaskan acara itu merupakan program komersial yang dihadiri tetamu antarabangsa, dan menegaskan tiada paksaan terhadap mana-mana tetamu Muslim untuk minum.
“Dalam acara komersial, penyediaan minuman beralkohol adalah perkara biasa. Namun begitu, sudah tentu kita tidak akan memaksa rakan Muslim untuk meminumnya,” katanya.
Bagaimanapun, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing kemudian menjelaskan bahawa Global Travel Meet 2025 bukan acara rasmi kerajaan seperti yang didakwa.
Menurutnya, penganjuran itu merupakan inisiatif pihak industri dan sektor swasta, bukannya di bawah tanggungjawab langsung kementeriannya.
Sumber: Instagram Alif Satar








