Pendidikan prasekolah diwajibkan mulai umur 5 tahun – PM | The Reporter

Pendidikan prasekolah diwajibkan mulai umur 5 tahun – PM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap di Parlimen sambil mengangkat tangan, disaksikan beberapa menteri kabinet.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan dasar baharu pendidikan prasekolah wajib mulai umur lima tahun ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 di Parlimen. | Kredit gambar: Pejabat Perdana Menteri / FB Anwar Ibrahim
Kerajaan perkenal pendidikan wajib seawal 5 tahun, tambah sekolah desa dan nilai semula sistem semasa

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Mulai usia lima tahun, pendidikan prasekolah akan diwajibkan di seluruh negara. Ini merupakan satu langkah bersejarah yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menurut beliau, inisiatif itu bukan sekadar mewajibkan kemasukan awal ke sekolah, malah satu usaha menyeluruh untuk memperkukuh asas pendidikan negara. Ini termasuk membina lebih banyak prasekolah di kawasan desa yang sebelum ini kurang diberi perhatian.

“Sistem pendidikan negara akan diperkemas supaya lebih bersepadu, berkesan dan responsif kepada cabaran masa depan,” katanya.

Antara perubahan lain yang sedang dirancang termasuk kajian semula waktu persekolahan, semakan keberkesanan sekolah khusus serta penambahbaikan model pendidikan bagi murid pintar cerdas dan berbakat.

Baca juga:

Bahasa Melayu diperkuat, bahasa Inggeris jadi medium pengajaran

Anwar juga menyentuh aspek penguasaan bahasa, dengan menegaskan bahasa Melayu akan terus menjadi keutamaan di semua peringkat pendidikan, manakala bahasa Inggeris pula akan digunakan sebagai bahasa pengajaran dan komunikasi. Bahasa tambahan turut akan diperluas mengikut keperluan semasa.

Selain itu, penguasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), literasi digital dan asas kecerdasan buatan (AI) akan diperkenalkan bagi melahirkan generasi yang bersedia menyertai pasaran kerja bernilai tinggi.

RM67 bilion untuk pendidikan: Sekolah wajib dalam pelan perumahan

Di bawah RMK13, sektor pendidikan menerima suntikan terbesar dengan peruntukan RM67 bilion yang merangkumi pembinaan sekolah baharu, menaik taraf 1,200 sekolah daif, penyediaan tadika KEMAS dan pembangunan institusi pengajian tinggi awam.

Lebih menarik, pembinaan sekolah akan dijadikan syarat kelulusan projek perumahan berskala besar. Langkah ini disasarkan untuk memastikan pembangunan komuniti baharu turut menyediakan keperluan asas pendidikan.

“Syarat kebenaran merancang mesti dimasukkan (sebagai) keperluan pendidikan,” tegas Anwar.

Konsep sekolah vertikal atau pembinaan secara bertingkat juga akan diperluas di kawasan bandar padat bagi mengatasi kekurangan tapak yang sesuai.

Sumber: Berita Harian

Related Posts