Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyuarakan rasa kesal terhadap tindakan kasar yang didakwa dilakukan oleh sekumpulan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ke atas seorang peniaga belon di Jalan Tunku Abdul Rahman (Jalan TAR) baru-baru ini.
Menerusi satu hantaran video di Facebook, beliau mempersoalkan sama ada kekerasan seperti yang dirakam dalam video tular itu merupakan sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) pihak berkuasa tempatan tersebut.
“Betul itu salah mereka kalau tiada lesen, tiada permit. Tetapi kita ini manusia, ada belas ihsan. Ini pula nak raya. Kalau dia nak berniaga sekejap pun, biarlah,” katanya.
Rakaman yang tular sejak Jumaat menunjukkan beberapa anggota penguat kuasa DBKL, termasuk individu berpakaian awam, bergelut dengan seorang peniaga belon hingga lelaki itu terjatuh dan berguling di atas jalan.
- Pekerja ditahan, didakwa bakar gudang di Ontario, California
- Rafizi Ramli desak keputusan segera, sedia dipecat jika langgar perlembagaan parti
- ‘Kesilapan saya sebab terlalu percayakan orang’ – Azar Azmi
- Kanak-kanak lelaki lemas, jatuh dalam Terusan Sungai Dua di Bertam
- ‘Indonesia antara negara paling selamat jika Perang Dunia III berlaku’ – Prabowo
Situasi tersebut mencetuskan kekecohan, dan kedengaran suara orang awam yang mempersoalkan tindakan kasar tersebut.
“Apa korang buat macam ni? Orang tu berniaga je. Kalau mati orang tu macam mana?” kedengaran salah seorang daripada mereka menegur.
Dr Akmal turut membandingkan tindakan terhadap peniaga kecil itu dengan layanan yang didakwa berbeza terhadap peniaga kaki lima lain yang bebas berniaga bertahun-tahun di lokasi lain tanpa gangguan.
“Dia pun ada anak, isteri, keluarga. Kalau anak dia tengok dia diperlakukan macam ni, apa perasaan mereka?” soal beliau.
Susulan kejadian itu, Dr Akmal berkata Pemuda UMNO akan mengesan peniaga terbabit untuk membantunya mendapatkan keadilan di mahkamah.
“Kita akan cari abang ni. Kita akan lawan kamu di mahkamah. Pemuda UMNO akan tuntut keadilan,” katanya.








