Pemuda Harapan Bangi buat laporan polis susulan dakwaan azan Subuh tak berkumandang | The Reporter

Pemuda Harapan Bangi buat laporan polis susulan dakwaan azan Subuh tak berkumandang

Syahredzan Johan, Ahli Parlimen Bangi, ketika mengulas laporan polis berhubung dakwaan azan Subuh tidak berkumandang di Bangi
Gambar: Facebook Syahredzan Johan.

Pemuda Harapan Bangi membuat laporan polis terhadap seorang individu yang didakwa membuat tohmahan bahawa azan Subuh tidak lagi berkumandang di masjid dan surau di Bangi sejak tiga hari lalu.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, laporan berkenaan dibuat di Balai Polis Bandar Baru Bangi susulan dakwaan yang disebarkan menerusi platform TikTok.

Menurut beliau, dakwaan berkenaan turut dikaitkan dengan DAP dan disifatkan sebagai satu tuduhan yang jahat serta tidak berasas.

Baca juga:

Syahredzan mempersoalkan kesahihan dakwaan tersebut, termasuk meminta individu berkenaan menyatakan masjid atau surau mana di Bangi yang didakwa tidak lagi mengumandangkan azan Subuh.

Beliau turut mempersoalkan tujuan penyebaran dakwaan sedemikian yang menurutnya boleh mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

“Ini tuduhan yang cukup jahat. Masjid mana, surau mana di Bangi? Apa tujuan buat tohmahan seperti ini? Politik sampah!” katanya dalam kenyataan.

Susulan perkara itu, Pemuda Harapan Bangi mengambil tindakan dengan membuat laporan polis bagi membolehkan dakwaan berkenaan disiasat.

Syahredzan berkata, beliau berharap laporan polis yang dibuat itu dapat menjadi langkah untuk menoktahkan penyebaran fitnah politik seumpama itu.

“Saya berharap laporan polis sekaligus menoktahkan fitnah politik seperti ini,” katanya.

Related Posts