Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan trend pempengaruh dan juga usahawan kosmetik membeli produk kecantikan dari Thailand tanpa cukai dan kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semakin berleluasa. Keadaan ini jelas beliau disebabkan oleh perbezaan harga yang ketara di pasaran tempatan.
Beliau menyatakan perkara ini bukan sesuatu yang baharu, malahan semakin membimbangkan. Beliau turut mendedahkan rampasan besar-besaran telah dibuat oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) melibatkan produk kecantikan dan kesihatan yang dibawa masuk secara haram ke Malaysia.
“Pempengaruh (media sosial) dan peniaga kosmetik ini mengambil kesempatan membeli stok murah dari Thailand tanpa cukai, kemudian dijual dengan harga berkali ganda di Malaysia.
“Selain menjejaskan hasil cukai negara, lebih membimbangkan adalah risiko kepada pengguna kerana produk ini tidak menjalani pemeriksaan dan kelulusan KKM,” katanya.
Taktik penyeludupan
Tambah beliau, taktik penyeludupan termasuk menggunakan laluan tikus atau menggunakan individu tertentu membawa masuk produk dalam kuantiti kecil bagi mengelakkan pemeriksaan di sempadan.
Pihak polis ujarnya percaya terdapat rangkaian pembekal yang terbabit dalam penyeludupan ini sebelum ia dipasarkan secara dalam talian atau melalui pempengaruh terkenal.
Dalam pada itu, beliau berkata pihak berkuasa kini memperketatkan pemantauan di sempadan dan akan mengambil tindakan terhadap individu yang menjual produk kosmetik tidak berdaftar. Di Kelantan, PGA turut merampas pelbagai barangan seludup termasuk produk kosmetik dan hasil pertanian dari negara jiran.
Sumber: Berita Harian








