Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang pempengaruh media sosial wanita berusia 20-an direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes pecah masuk rumah bekas suami dan bekas madunya.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud mengesahkan penahanan wanita tersebut untuk siasatan lanjut berikutan laporan kehilangan barang milik pengadu.
Polis terdahulu menerima laporan daripada bekas madu wanita itu pada jam 9.47 malam kelmarin, yang mendakwa rumahnya telah dipecah masuk pada jam 11.30 malam, 22 Julai 2024.
Pengadu menyedari rumahnya dipecah masuk selepas mendapati pintu gelongsor hadapan dalam keadaan terbuka. Pemeriksaan mendapati ada beberapa barangan didapati hilang dan pengadu juga menemui satu beg plastik ubat di atas meja di dalam biliknya, yang tertulis nama wanita yang dikenali olehnya dan suami.
Bertindak di atas maklumat, polis telah menahan suspek pada jam 11.30 malam semalam.
Hasil siasatan mendapati, suspek mengaku memecah masuk ke dalam rumah semasa ketiadaan pengadu. Polis turut menemui kesan umpilan pada pintu jeriji keselamatan dan pintu cermin hadapan rumah.
Sebelum ini, tular video rakaman siaran langsung di TikTok yang memaparkan wanita berkenaan dengan bekas madunya bercerita mengenai kisah rumah tangga mereka.
Sumber: Harian Metro (Hidayatidayu Razali)








