Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki berusia 40 tahun yang dipercayai mencari rezeki dengan meminta sedekah di sekitar sebuah bank di Seksyen 18 maut selepas ditikam beberapa kali oleh seorang lelaki lain yang juga dikatakan mahu ‘beroperasi’ di lokasi sama.
Kejadian berlaku sekitar jam 12 tengah hari dan disaksikan orang awam sebelum dimaklumkan kepada pihak polis.
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, siasatan awal mendapati berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dan suspek yang berusia 28 tahun, dipercayai berpunca daripada perebutan kawasan untuk meminta sedekah. Suspek kemudiannya bertindak mengeluarkan sebilah pisau dan menikam dada mangsa beberapa kali, menyebabkan mangsa rebah dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri.
Suspek berjaya diberkas di lokasi kejadian setengah jam kemudian dan hasil semakan mendapati dia memiliki sembilan rekod jenayah lampau. Ujian saringan awal air kencing mendapati dia bebas dari pengaruh dadah.
Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat, manakala suspek akan direman bermula esok bagi siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Muhammad Abd Hafiz Sariee di talian 014-8905051.
Sumber: Kosmo! Online, Harian Metro








