Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ketika ini ramai yang mula mengikut trend mengumpul koleksi patung Labubu. Ada yang menjadikannya sebagai keychain atau rantai kunci beg.
Patung berkenaan mula diminati ramai apabila penyanyi Lisa Blackpink mula menggantungkannya di beg tangan sebagai hiasan.
Bagaimanapun, timbul dakwaan mengatakan pencipta patung labubu ini mendapat inspirasi menghasilkan patung berdasarkan karakter hantu dari Hong Kong iaitu Taotie.
Dan beberapa dakwaan juga mengatakan patung tersebut berkait dengan kepercayaan agama lain.
Mengulas isu ini, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Mohd Adnan menyarankan agar peminat koleksi patung berkenaan perlu meninggalkan trend tersebut. Ini kerana perkara itu termasuk dalam perkara syubhah dan pembaziran.
“Walaubagaimanapun berlaku khilaf pada setiap jenis patung dan gambar.
“Oleh itu, ulama bersepakat bahawa hukum menyimpan patung adalah haram jika ia adalah patung makhluk yang mempunyai roh seperti manusia, haiwan dan termasuk juga jin.
“Patung yang saiznya tidak kecil atau bukan mainan kanak-kanak dan tidak diperbuat daripada bahan yang cepat rosak juga termasuk kategori haram.
“Pada masa sama, patung tersebut mestilah tidak mempunyai unsur lucah, tanda salib, lambang-lambang agama lain dan sebagainya yang haram,” katanya.
Jelasnya lagi, patung yang sempurna atau tidak terpotong anggota badan juga diharamkan terutama ia diletakkan di tempat khas mahupun digantung di tempat yang dimuliakan.
Oleh yang demikian, penyimpanan patung Labubu katanya adalah harus jika dijaga syarat-syarat pengharaman di atas dan tidak dimuliakan.
Sumber: mStar








