Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Dalam era digital masa kini, kandungan media sosial (content) boleh tercipta di mana-mana sahaja sama ada di restoran, di jalanan, mahupun dalam aktiviti harian individu.
Bukan sahaja kandungan biasa, malah sesi siaran langsung (live) turut dilakukan di pelbagai lokasi, termasuk premis perniagaan. Tujuannya pelbagai, ada yang ingin meraih perhatian, ada pula yang mendakwa mahu membantu peniaga.
Namun, perkara ini tidak disenangi oleh seorang peniaga wanita dikenali sebagai Omeyaacob, yang meluahkan rasa kecewa menerusi satu hantaran di aplikasi Threads, baru-baru ini.

Beliau berkongsi pengalamannya apabila tindakannya melarang individu tertentu melakukan siaran langsung TikTok di restorannya telah menimbulkan salah faham serta tuduhan kononnya dia cuba “menutup periuk nasi orang lain”.
“Kita larang someone not to do live TikTok in my restaurant, dah dituduh kita tutup periuk nasi dia pula. Dia tak fikir ke saya pun perlu jaga periuk nasi juga,” tulisnya.
Lebih selesa kekalkan ketenangan tanpa viral
Pemilik restoran tersebut menjelaskan bahawa premisnya hanyalah sebuah restoran kecil dengan kira-kira 20 meja, dan beliau lebih selesa mengekalkan suasana tenang dan sederhana tanpa sebarang keperluan untuk menjadi tular di media sosial.
“Saya masih old school F&B owner. Nak tenang-tenang je, tak nak bising-bising. Tak perlu viralkan restoran sebab saya lebih suka pelanggan datang dengan tenang,” tambahnya lagi.
Hantaran itu mendapat perhatian ramai, dan ruangan komen turut dipenuhi sokongan orang ramai yang bersetuju dengan pendiriannya. Bagi mereka, waktu makan di restoran seharusnya menjadi masa yang tenang dan selesa, bukan terganggu dengan aktiviti rakaman atau siaran langsung.








