'Ada takut sikit, tapi saya cintakan Malaysia' - Pemilik kedai mahu terus pasang Jalur Gemilang | The Reporter

‘Ada takut sikit, tapi saya cintakan Malaysia’ – Pemilik kedai mahu terus pasang Jalur Gemilang

Seorang lelaki berdiri di hadapan kedai perkakasan sambil memegang dua bendera kecil Malaysia, dengan Jalur Gemilang gergasi tergantung di bangunan di belakangnya.
Pemilik kedai perkakasan mengibarkan bendera kecil Malaysia di hadapan premisnya selepas insiden pemasangan bendera terbalik. | Kredit gambar: Mikail Ong

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Kontroversi pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah kedai perkakasan di Pulau Pinang mendapat titik penjelasan apabila pemiliknya, Pang Chin Tiang, 59, tampil mengakui kesilapan itu. Beliau yang telah 10 tahun berturut-turut memasang bendera di premisnya setiap kali menjelang sambutan Hari Kemerdekaan berkata, kejadian tahun ini berpunca daripada kesilapan yang tidak disengajakan ketika proses pemasangan.

Menurut Pang, bendera belum sempat diikat dengan betul sebelum beliau menyedari kesalahan itu lalu segera membetulkannya.

“Perkara ini bukan sengaja berlaku… masa itu belum lagi ikat dan terus saya ambil tangga pergi ubah. Apa saja keputusan, saya terima dan tanggung akibatnya,” katanya.

Walaupun mengakui sedikit trauma selepas kejadian, Pang menegaskan rasa cintanya kepada negara tidak akan luntur dan berjanji untuk terus mengibarkan Jalur Gemilang pada tahun-tahun akan datang.

Baca juga:

Pang ditahan pada hari kejadian sebelum dibebaskan dengan jaminan sehari kemudian. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kontroversi tercetus selepas rakaman berdurasi 21 saat memaparkan bendera dipasang terbalik di hadapan premisnya menjadi tular di media sosial.

Dalam rakaman itu, seorang pekerja kedai kelihatan merakam bendera berkenaan, mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang menggesa tindakan tegas diambil, apatah lagi ketika negara menghampiri sambutan Hari Kemerdekaan ke-68.

Sumber: Harian Metro

Related Posts