Isu bendera Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik di sebuah kedai perkakasan di Taman Bertam Permata pada 9 Ogos lalu bukanlah tindakan sengaja, tegas pemiliknya, Pang Chin Tian, 59.
Beliau menjelaskan, keadaan itu berlaku semasa pekerjanya sedang mengukur panjang batang besi yang akan digunakan untuk pemasangan bendera. Katanya, pada waktu itu bendera masih belum diikat secara tetap dan kedudukan terbalik itu tidak disedari.

“Video yang tersebar itu hanyalah rakaman percubaan untuk melihat ukuran besi, bukan pemasangan sebenar,” katanya selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara bersama pekerjanya.
Pang yang sudah beroperasi di lokasi tersebut selama sedekad memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan berjanji akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan.
Baca juga:
- Tun Mahathir, Siti Hasmah cipta rekod ASEAN dan Asia
- Warga emas maut disambar buaya ketika cari siput, anak saksikan detik tragis
- ‘Hampir 99% ke Mekah’- MP Langkawi dedah kisah pemilihan parti ketika bahas RCI TH
Laporan polis dan tuntutan tindakan tegas
Insiden berkenaan mendorong beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta UMNO Bahagian Kepala Batas membuat laporan polis, termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Reezal berkata, negara mempunyai undang-undang untuk memelihara maruah serta simbol kebangsaan, justeru tindakan sewajarnya perlu diambil agar perkara serupa tidak berulang. Beliau turut menyifatkan alasan pemilik kedai itu “tidak masuk akal” dan sukar diterima.
Sumber: Malaysia Gazette








