Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Dalam dunia perniagaan, persaingan harga bukanlah satu kesalahan, malah dilihat sebagai strategi sah untuk menarik pelanggan. Namun, tindakan seorang peniaga burger yang dikenali di media sosial sebagai Zack menawarkan burger ayam crispy pada harga RM3.90 di Kulai telah mencetuskan ketegangan dalam kalangan peniaga lain.
Zack mendakwa dirinya menerima mesej kecaman daripada individu tidak dikenali yang marah kerana dia menjual burger pada harga lebih rendah daripada kebanyakan peniaga lain. Individu itu mendesaknya supaya tidak menurunkan harga sehingga mengganggu rezeki peniaga lain, dan turut memberi bayangan agar dia tidak datang berniaga di kawasan tersebut.
Dalam responnya, Zack menjelaskan beliau bukan menjatuhkan sesiapa, sebaliknya mampu menawarkan harga rendah kerana memiliki rangkaian bekalan bahan mentah yang stabil dan murah. Katanya, rezeki itu datang daripada Allah, dan jika seseorang peniaga berjaya memperoleh bahan mentah pada kos rendah, tidak salah baginya menawarkan harga kompetitif kepada pelanggan.


Perkara ini kemudiannya menjadi tular di media sosial, apabila ramai pengguna tampil menyokong Zack. Rata-rata netizen berpandangan bahawa menjual burger dengan harga murah bukan satu kesalahan, malah memperlihatkan kecekapan pengurusan kos perniagaan.
Mereka juga mengecam sikap sesetengah peniaga lain yang mudah berasa terancam dengan kejayaan orang lain, seolah-olah takut bersaing secara sihat.
Ada juga yang melihat isu ini mencerminkan mentaliti negatif dalam kalangan peniaga yang tidak bersedia menerima perubahan dan sentiasa menyalahkan pesaing apabila perniagaan sendiri kurang menyerlah. Sebaliknya, mereka percaya pelanggan kini lebih bijak memilih, dan kualiti serta strategi perniagaan adalah penentu utama kejayaan.








