Tular satu video insiden buli yang melibatkan seorang pelajar kategori orang kurang upaya (OKU) di GiatMara Durian Tunggal, Melaka mencetuskan kemarahan ramai.
Susulan itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki memandang tegas isu ini dan memaklumkan tindakan tegas akan diambil.
“Saya amat dukacita lihat video tu. Dikhabarkan, peringkat awal dikatakan hanya gurauan. Bagi saya perbuatan ini tidak boleh diterima sama sekali. Ini satu bentuk pembulian walaupun bukan dalam bentuk fizikal apatah lagi mangsa adalah OKU.
“Pengurusan GiatMara Melaka akan panggil dan berjumpa dengan kesemua individu dalam video pada Isnin termasuk pelatih yang menjadi mangsa untuk siasatan terperinci.
“Tiada maaf bagi pembuli apatah lagi buli OKU. Apa jua alasan termasuk gurauan tidak boleh diterima dan tindakan tegas pasti diambil,” katanya.
Terdahulu, tular video insiden buli melibatkan pelajar OKU GiatMara yang didedahkan oleh seorang pengguna TikTok. Menerusi rakaman berkenaan, pelajar tersebut dibuli dengan cara dibaling botol air ketika tidur, motosikal disorok dan diletakkan dalam sangkar ketika dia sedang belajar.
Dalam hantaran berkenaan, lelaki yang dikenali sebagai Masdo itu turut menggesa pihak GiatMara untuk melakukan tindakan segera menangani isu ini.








