Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan bahawa pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG) bukanlah satu pembaziran atau melibatkan dana awam.
Sebaliknya, beliau menekankan bahawa pembelian tersebut adalah keputusan perniagaan strategik yang dibiayai sepenuhnya menggunakan dana syarikat, bukan wang pembayar cukai.
“Pembelian pesawat ini sebenarnya adalah keputusan perniagaan strategik oleh MAG dan dibiayai menggunakan dana syarikat, BUKAN duit cukai RAKYAT,” tegas beliau dalam kenyataan hari ini.
Tengku Zafrul turut memaklumkan bahawa rancangan pembelian pesawat Boeing itu telah diumumkan seawal Mac 2025, iaitu sebelum pengumuman tarif oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
“Tak percaya? Boleh tengok headline yang saya kongsikan! Masa itu, Presiden Trump belum umumkan tarif lagi,” katanya, membidas dakwaan yang mengaitkan pembelian tersebut sebagai reaksi kepada isu tarif.
Baca juga:
- Lawatan singkat Messi undang kemarahan peminat
- UEC: ‘Saya tak peduli siapa, parti mana, pertahankan martabat Bahasa Kebangsaan’ – PM
- Wanita dakwa suami ditembak polis, rupanya kekasih suspek & miliki 10 rekod jenayah
Beli bukan sebab tarif
Menurut beliau, pembelian pesawat tersebut tidak mempunyai kaitan langsung dengan rundingan tarif, sebaliknya ia digunakan sebagai satu strategi untuk menunjukkan bahawa Malaysia adalah pembeli signifikan kepada produk AS.
“Apabila Amerika Syarikat mengenakan tarif, ia sebahagiannya disebabkan oleh defisit dagangan – maksudnya kita jual lebih banyak ke AS berbanding kita beli dari mereka.
“Kita ambil peluang ini dengan menyenaraikan semua pembelian besar yang dirancang oleh syarikat-syarikat Malaysia dari AS, termasuk pesanan pesawat Boeing ini. Bukan kita beli semata-mata sebab nak kurangkan tarif,” jelas beliau.
Tarif turun, Malaysia untung
Beliau turut berkongsi bahawa pendekatan ini berjaya meyakinkan AS untuk menurunkan kadar tarif eksport Malaysia daripada 25% kepada 19%, susulan rundingan yang dijalankan.
“Strategi bijak ini adalah hasil perundingan yang teliti, memastikan kepentingan syarikat dan negara terpelihara,” katanya lagi.










