Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang pemandu wanita warga Singapura nekad merempuh dua anggota polis dalam usaha melarikan diri, mengakibatkan kedua-duanya mengalami kecederaan. Kejadian itu berlaku semasa pasukan polis menjalankan pemantauan Ops Tapis di Jalan Tampoi, Taman Seri Bahagia, pada tengah malam Rabu, 1 Januari 2025.
Ketika pasukan polis menghampiri kenderaan Perodua Axia yang dipandu secara mencurigakan untuk pemeriksaan, wanita berusia 38 tahun itu memandu secara berbahaya sehingga melanggar dua anggota polis. Mangsa mengalami luka di tangan akibat terjatuh. Walaupun diarahkan berhenti, suspek terus memecut ke arah Lebuhraya Pasir Gudang.
Insiden kejar-mengejar itu melibatkan beberapa laluan termasuk Lebuhraya Link Kedua dan Lebuhraya Utara Selatan. Suspek juga merempuh palang tol di Plaza Tol Senai Utara dalam usaha meloloskan diri sebelum berjaya ditahan di kawasan Simpang Renggam, Kluang, dengan bantuan pasukan MPV IPD Kulai dan IPD Kluang.
Hasil tangkapan mendapati suspek bersama seorang penumpang lelaki tempatan berusia 49 tahun. Pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut menemui beberapa bungkusan plastik berisi bahan disyaki dadah.
Susulan itu, polis melakukan dua serbuan berasingan di Johor Bahru, merampas dadah bernilai RM54,831.70 termasuk 697.40 gram ganja (RM7,172.00), 62.00 gram syabu (RM6,820.00), 4.10 gram serbuk ekstasi (RM684.70), 3.80 gram heroin (RM95.00), dan 14.00 gram pil nitrazepam (RM60.00).
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar, memaklumkan kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine. Lelaki tempatan itu turut mempunyai rekod jenayah lampau dan satu rekod dikehendaki.
Kes disiasat di bawah beberapa seksyen undang-undang termasuk Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika disabitkan.








