Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang pemandu SUV mewah, Mercedes Benz GLE450 AMG, ditahan selepas dipercayai terlibat dalam insiden langgar lari di Kilometer 8 Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) berhampiran Plaza Tol Chan Sow Lin, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata kejadian berlaku sekitar jam 12.35 tengah hari apabila penunggang motosikal Honda Vario 160, seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun, dilanggar semasa bergerak lurus di laluan tersebut.


Akibat daripada pelanggaran itu, mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan muka. Suspek lelaki berusia 34 tahun itu pula bertindak melarikan diri dari lokasi kejadian.
Bagaimanapun tindakan suspek itu mengundang padah apabila kenderaannya terbakar di Plaza Tol Wangsa Maju, sejam selepas kejadian langgar lari itu.
Sepasukan anggota bomba dikerahkan ke lokasi dan berjaya memadamkan kebakaran itu pada jam 2.15 petang. Namun, kereta suspek musnah 100%.
Sementara itu, kakak mangsa, Syahrizah Saini, mengesahkan adiknya sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan keadaannya masih belum stabil.
“Doktor memaklumkan muka adik saya hancur. Di dahinya ada lubang dan darah keluar tak berhenti. Doktor berikan ubat untuk hentikan pendarahan. Buat masa ini dia masih tak stabil dan tak ingat apa-apa,” katanya.
Menurut Syahrizah, pihak polis memaklumkan suspek pada awalnya tidak mengaku. Selepas dimaklumkan bahawa polis mempunyai bukti, barulah suspek bertanya tentang keadaan adiknya dan tampil ke balai serta direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sumber: Harian Metro, Astro Awani








