Pemandu Singapura 'tapau' RON95, undang kecaman netizen | The Reporter

Pemandu Singapura ‘tapau’ RON95, undang kecaman netizen

Seorang lelaki mengisi petrol ke dalam tong plastik di stesen minyak, bersebelahan kereta Mini Cooper berdaftar Singapura.
Tular di media sosial, lelaki ini dirakam mengisi RON95 ke dalam tong di Johor meskipun menggunakan kenderaan berdaftar Singapura
Isi minyak subsidi, siap tapau dalam tong

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang pemandu warga Singapura mencetuskan kemarahan ramai apabila dirakam mengisi petrol RON95 di sebuah stesen minyak di Nusa Sentral, Johor Bahru, walaupun bahan api tersebut dikhaskan untuk rakyat Malaysia sahaja.

Lebih mengejutkan, dia bukan sahaja mengisi penuh tangki kereta Mini Cooper bernombor pendaftaran Singapura, malah turut dilihat menuang petrol subsidi ke dalam tong untuk dibawa pulang.

Rakaman kejadian dikongsi oleh akaun Facebook SGRV Front Man dan dengan pantas tular serta mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan pengguna media sosial.

Baca juga:

Netizen desak sekat kemasukan pelaku

Tindakan itu menerima kecaman hebat dalam kalangan pengguna media sosial yang menganggap pemandu terbabit tidak beretika kerana sanggup mengambil kesempatan terhadap subsidi yang disediakan khusus untuk rakyat Malaysia. Mereka mempersoalkan bagaimana seseorang yang mampu memiliki kenderaan mewah seperti Mini Cooper masih tergamak mengejar penjimatan dengan menyalahgunakan kemudahan negara orang.

Ada juga yang menyindir perbuatan mengisi petrol ke dalam tong sebagai satu tindakan memalukan dan biadab, seolah-olah bahan api itu boleh dibungkus sesuka hati seperti makanan. Tindakan itu bukan sahaja dianggap melampau, malah mencerminkan sikap tamak yang tidak wajar dilakukan oleh pelawat luar.

Ramai berharap pihak berkuasa Malaysia akan bertindak tegas, termasuk menyekat individu tersebut daripada memasuki semula negara ini. Malah ada yang mencadangkan agar Jabatan Kastam turut menyiasat kemungkinan berlaku penyeludupan petrol rentas sempadan menggunakan cara serupa.

Undang-undang jelas, tapi masih ada yang berani langgar

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebelum ini telah mewartakan larangan jualan RON95 kepada semua kenderaan asing sejak 1 Ogos 2010. Undang-undang ini turut terpakai kepada kenderaan dari Singapura dan Thailand bagi mengelakkan ketirisan subsidi.

Ini bukan kes pertama seumpamanya. Sebelum ini, beberapa pemandu asing pernah dikenakan kompaun serta-merta, manakala ada yang disenaraihitamkan daripada memasuki semula Malaysia.

Pengusaha stesen minyak pula diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak membenarkan penjualan RON95 kepada kenderaan luar, atau mereka berisiko kehilangan bekalan bahan api bersubsidi daripada kerajaan.

Sumber: Facebook SGRV Front Man

Related Posts