Tindakan sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Singapura yang dirakam mengisi minyak RON95 di sebuah stesen minyak di Iskandar Puteri, Johor mencetuskan kemarahan warganet, sekali gus menghidupkan semula perdebatan mengenai penyalahgunaan petrol bersubsidi Malaysia.
Insiden itu tular selepas satu akaun Facebook memuat naik gambar sebuah Honda Stepwagon Spada dengan nombor pendaftaran SNU 8103H, dipercayai sedang mengisi petrol RON95. Tindakan berkenaan pantas mengundang kecaman kerana RON95 merupakan petrol bersubsidi yang dikhaskan untuk kegunaan rakyat Malaysia.
Baca juga:
- ‘Bola-bola juga, ibadat dan tanggungjawab jangan diabaikan’ – Dr Zulkifli
- SPR umum tarikh PRN Johor 11 Julai, Negeri Sembilan 1 Ogos
- Kisah lelaki Johor temui makna kehidupan di Terengganu
Pemilik kereta tampil beri penjelasan
Dalam ruangan komen, pemilik kenderaan berkenaan, Daryl Toh, tampil mempertahankan dirinya dan mendakwa tiada isu undang-undang dalam perbuatannya.
“Hello, saya pemilik kereta itu, itu memang saya. Jadi apa masalahnya? Saya isi secara sah, tiada siapa kata ia menyalahi undang-undang untuk dibeli. Saya akan teruskan sehingga April, teruskan post saya, saya tidak kisah,” tulisnya.

Kenyataan itu bagaimanapun dilihat mencetuskan lebih banyak reaksi negatif, dengan sebahagian warganet menyifatkan sikap tersebut sebagai mencabar undang-undang dan tidak menghormati sistem subsidi negara.
Penguatkuasaan terus dipertikai
Untuk rekod, penjualan RON95 kepada kenderaan asing telah lama dilarang di Malaysia kerana petrol berkenaan menerima subsidi kerajaan dan bertujuan membantu rakyat tempatan mengawal kos sara hidup. Kenderaan berdaftar Singapura sepatutnya hanya dibenarkan mengisi RON97 atau RON100.
Kes tular ini sekali lagi mengundang persoalan mengenai tahap penguatkuasaan di peringkat stesen minyak, dengan warganet mendesak tindakan lebih tegas diambil bagi mengelakkan ketirisan subsidi yang berterusan.








