'Saya nak brek, tapi tertekan pedal minyak' – Pemandu cuai langgar 20 murid sekolah | The Reporter

‘Saya nak brek, tapi tertekan pedal minyak’ – Pemandu cuai langgar 20 murid sekolah

Insiden pemandu cuai langgar 20 murid sekolah rendah di Jakarta Utara
Pemandu kenderaan makanan percuma akui tersilap tekan pedal minyak hingga menyebabkan 20 murid sekolah cedera. | Sumber gambar: Media Indonesia

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Suasana di Sekolah Rendah Kalibaru 01, Cilincing, Jakarta Utara, Indonesia kecoh selepas sebuah kenderaan pengangkut makanan program Makan Sihat Percuma milik Badan Gizi Nasional (BGN) tiba-tiba melanggar sejumlah murid dan seorang guru pada pagi Khamis, 11 Disember 2025.

Kejadian itu menyebabkan 20 orang cedera, termasuk 19 murid dan seorang guru yang kini dirawat di beberapa hospital sekitar Jakarta Utara.

Pemandu akui tersilap tekan pedal

Ketua Polis Sektor Cilincing, Asisten Supritendan Bobi Subasri, memaklumkan hasil siasatan awal mendapati pemandu kenderaan tersebut tersilap menekan pedal minyak ketika cuba membrek.

“Menurut keterangannya, dia mahu membrek ketika melalui kawasan sekolah yang mempunyai cerun, namun brek tidak berfungsi dengan baik menyebabkan dia panik dan menekan pedal minyak.,” katanya.

Baca juga:

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan detik cemas ketika kenderaan itu menembusi pagar sekolah dan meluncur ke arah murid-murid yang sedang duduk di kawasan lapang, hingga mencetuskan panik dalam kalangan guru serta pelajar.

Kerajaan tanggung semua kos rawatan

Gabenor Jakarta, Pramono Anung, mengesahkan kerajaan wilayah itu akan menanggung sepenuhnya semua kos rawatan mangsa di hospital.

“Saya telah arahkan Hospital Umum Daerah Koja dan Hospital Umum Daerah Cilincing untuk memberikan rawatan terbaik. Semua perbelanjaan ditanggung oleh kerajaan wilayah,” katanya ketika melawat mangsa di Hospital Koja.

Setakat ini, kawasan sekolah telah dipasang pita polis dan kenderaan yang terlibat masih berada di lokasi bagi tujuan siasatan lanjut oleh pihak berkuasa.

Sumber: Sindo News

Related Posts