Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pemandu bas yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Jeli-Gerik sehingga meragut 15 nyawa, termasuk 14 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), tampil memohon maaf kepada keluarga mangsa dan menjelaskan punca sebenar kemalangan.
Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, 39, mendakwa brek bas yang dipandunya tiba-tiba tidak berfungsi ketika melalui jambatan lintasan gajah di Gerik, menyebabkan dia hilang kawalan walaupun telah mencuba pelbagai cara untuk memberhentikan kenderaan itu.
Sempat elak 4 kenderaan lain
Menurutnya, ketika brek gagal berfungsi, sistem angin bas turut kosong menyebabkan brek tangan dan pertukaran gear juga tidak dapat digunakan.
“Saya cuba elak dari langgar mana-mana kenderaan. Empat kenderaan sempat saya potong termasuk lori. Kenderaan terakhir ialah kereta yang ada dashcam. Masa tu saya memang dah tak ada pilihan,” katanya memetik laporan Harian Metro, Selasa.
Amirul turut menafikan dakwaan netizen kononnya dia memandu laju semasa kejadian, sebaliknya dia ketika itu sedang berusaha sedaya upaya mengelak kemalangan lebih besar kerana kejadian berlaku di kawasan menuruni bukit dan berselekoh.
Malah sebelum kemalangan itu berlaku, dia sempat memberi amaran kepada pelajar supaya bersedia, namun kebanyakan penumpang ketika itu sedang tidur.
“Saya dah jerit suruh bersedia, tapi ramai yang tidur. Bila bas terbalik, saya pengsan sekejap. Bila sedar, saya jerit suruh pelajar keluar ikut cermin depan yang pecah,” jelasnya.
Rasa bersalah
Amirul yang berasal dari Besut, Terengganu, berkata ini adalah kali pertama sepanjang kerjayanya sebagai pemandu bas sejak 2016 terlibat dalam kemalangan serius sehingga meragut nyawa.
“Saya sangat sedih dan rasa bersalah. Tapi saya dah cuba sedaya upaya. Saya serahkan pada siasatan polis,” katanya yang kini menunggu pembedahan tangan kiri yang patah.
Terdahulu, polis memaklumkan bas terbabit dipercayai melanggar belakang MPV sebelum terbalik dalam perjalanan pulang dari Terengganu ke UPSI, Tanjung Malim.
Sumber: Harian Metro








