Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Satu rakaman video menunjukkan sebuah bas pengantara MRT memandu rapat ke arah sekumpulan penunggang basikal di jalan raya tular di media sosial dan mencetuskan kebimbangan ramai mengenai keselamatan pengguna jalan raya.
Susulan kejadian itu, Rapid KL memaklumkan satu siasatan dalaman telah dijalankan untuk menyiasat tingkah laku pemandu bas terlibat.
Menurut laporan New Straits Times, rakaman tersebut dipercayai diambil oleh salah seorang penunggang basikal dan menunjukkan konfrontasi berlaku antara mereka dan pemandu bas terbabit.
Baca juga:
- Rafizi Ramli desak keputusan segera, sedia dipecat jika langgar perlembagaan parti
- Kanak-kanak lelaki lemas, jatuh dalam Terusan Sungai Dua di Bertam
- ‘Indonesia antara negara paling selamat jika Perang Dunia III berlaku’ – Prabowo
Laluan bas dihalang
Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, Rapid KL menjelaskan bas tersebut tidak dapat meneruskan perjalanan seperti biasa kerana laluan kiri telah dipenuhi oleh kumpulan penunggang basikal, sekali gus menghalang laluan kenderaan berat itu.
“Situasi ini memaksa kapten bas untuk menghentikan kenderaan dan berdepan dengan kumpulan tersebut. Konfrontasi berlaku tetapi berjaya dikawal oleh pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang kebetulan berada di lokasi,” kata kenyataan itu.
Pemandu jalani sesi kaunseling

Rapid KL memaklumkan, pemandu bas berkenaan telah dipanggil dan menjalani sesi kaunseling sebagai langkah memperbaiki cara mengendalikan situasi sedemikian pada masa hadapan.
Syarikat itu turut mengingatkan semua pemandu mereka agar sentiasa bersikap berhemah dan mematuhi protokol keselamatan dalam apa jua keadaan.
Dalam masa yang sama, Rapid KL turut menasihatkan pengguna jalan raya lain, termasuk penunggang basikal, agar sentiasa peka dan patuh kepada peraturan jalan raya, termasuk berbasikal dalam satu barisan serta tidak menghalang laluan kenderaan.
Sumber: Malay Mail, New Straits Times








