Pemain Liverpool, Diogo Jota maut dalam kemalangan jalan raya di Sepanyol | The Reporter

Pemain Liverpool, Diogo Jota maut dalam kemalangan jalan raya di Sepanyol

Diogo Jota maut bersama adik lelakinya
Diogo Jota maut bersama adik lelakinya. Gambar: X Diogo Jota

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pemain bola sepak Liverpool, Diogo Jota dilaporkan maut dalam satu kemalangan jalan raya di Sepanyol.

Difahamkan, Jota, 28, berada dalam sebuah kenderaan bersama adiknya, Andre yang juga merupakan pemain bola sepak berusia 26 tahun.

Kejadian itu berlaku di Lebuh Raya A-52, dalam wilayah Zamora.

Memetik Daily Mail, perkhidmatan kecemasan di wilayah Castilla dan Leon mengesahkan insiden berkenaan.

“Bilik operasi 1-1-2 Castilla y León menerima beberapa panggilan melaporkan kemalangan kenderaan di Km 65 Lebuh Raya A-52, dalam kawasan perbandaran Cernadilla, Zamora. Sebuah kenderaan dilaporkan terlibat dalam kemalangan dan sedang terbakar,” menurut satu kenyataan.

“1-1-2 telah memaklumkan kepada Polis Trafik Zamora, Pasukan Bomba Majlis Wilayah Zamora, serta Pusat Penyelaras Kecemasan Sacyl (CCU) mengenai insiden ini.

“Unit Kecemasan Perubatan (UME) dan Pasukan Perubatan Penjagaan Primer (MAP) dari Pusat Kesihatan Mombuey telah dihantar ke lokasi, dan mengesahkan dua individu telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Di media sosial, peminat bola sepak meluahkan rasa sebak dengan kehilangan bintang bola sepak terkenal itu apatah lagi dimaklumkan Jota baru sahaja melangsungkan perkahwinan dengan teman wanitanya Rute Cardoso, di Porto beberapa minggu lalu.

Related Posts