Pemain bola sepak Palestin, Muhannad Al-Lelee maut dalam serangan dron tentera Israel | The Reporter

Pemain bola sepak Palestin, Muhannad Al-Lelee maut dalam serangan dron tentera Israel

Muhannad Al-Lelee maut dalam serangan dron oleh tentera Israel
Muhannad Al-Lelee mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan tengkorak.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Persatuan Bola Sepak Palestin menerusi ciapan di aplikasi X mengumumkan bahawa pemain bola sepak terkemuka dan bintang pasukan Khadamat Al-Maghazi, Muhannad Al-Lelee, telah terbunuh akibat kecederaan yang dialaminya dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kediamannya di Kem Pelarian Maghazi, Gaza Tengah.

Memetik laporan dari WAFA, serangan itu berlaku pada Isnin lalu apabila sebuah dron tentera Israel melancarkan peluru berpandu yang mengenai bilik tidur Muhannad di tingkat tiga rumahnya. Serangan itu menyebabkan kecederaan parah di bahagian kepala serta pendarahan serius pada tengkorak. Setelah beberapa hari bertarung nyawa, beliau menghembuskan nafas terakhir pada pagi Khamis.

Pembunuhan Muhannad menjadikan jumlah ahli komuniti sukan Palestin yang terbunuh kini meningkat kepada 585 orang dan daripada jumlah berkenaan 265 merupakan dari ahli komuniti bola sepak.

Muhannad memulakan kerjaya bola sepaknya bersama Khadamat Al-Maghazi, menaiki tangga daripada skuad remaja sebelum mengetuai pasukan utama ke Liga Perdana Palestin pada musim 2016/2017. Beliau kemudiannya berpindah ke kelab Shabab Jabalia dan beraksi selama dua musim, membantu pasukan tersebut meraih kedudukan naib juara dalam kempen Liga Perdana 2018/2019.

Selepas itu, beliau menyertai Gaza Sports Club, namun terpaksa berehat seketika akibat kecederaan ligamen cruciate. Muhannad kembali ke padang melalui pasukan asalnya, Khadamat Al-Maghazi.

Dalam serangan genosid yang berterusan di Gaza, Muhannad pernah cuba untuk keluar dari wilayah yang dikepung itu bagi bertemu isterinya yang berangkat ke Norway atas urusan kerja tidak lama sebelum perang tercetus. Namun, beliau gagal mendapatkan laluan selamat dan tidak sempat bertemu dengan anak lelakinya yang dilahirkan di luar negara semasa konflik sedang berlangsung.

Related Posts