'Pelanggan tak dipaksa ambil lauk di luar kemampuan mereka' - Pemilik restoran sotong RM50 seekor tampil beri penjelasan - The Reporter

‘Pelanggan tak dipaksa ambil lauk di luar kemampuan mereka’ – Pemilik restoran sotong RM50 seekor tampil beri penjelasan

Susulan kes pelanggan terkejut dikenakan caj RM50 untuk seekor sotong manis, pemilik Mekar Restaurant tampil memberi penjelasan mengenai isu berkenaan.

Menerusi hantaran di Facebook, Noeylz Hashim mendakwa pihaknya telah difitnah kononnya tidak mempamerkan harga. Sedangkan harga jualan telah dipamerkan dengan jelas untuk dibaca oleh pelanggan.

“Harga jualan telah dipamerkan dengan jelas iaitu dari RM20 hingga RM100 untuk seekor sotong manis. Harga sotong manis bersaiz besar yang tinggi berikutan ia hanya boleh didapati secara tempahan khas,” katanya.

Tanda harga yang dipamerkan oleh Mekar Restaurant

Jelas Noeylz, harga untuk sotong manis mentah sekitar RM38 ke atas bagi berat sekilogram. Kuantiti untuk sekilogram pula hanya 2-3 ekor.

Harga tersebut belum lagi dikira dengan bahan-bahan masakan lain, selain perlu mengambil kira perbelanjaan lain seperti sewa kedai, gaji pekerja dan sebagainya.

“Yang mengata kami tidak mempamerkan harga adalah fitnah semata-mata. Pelanggan juga tidak dipaksa untuk mengambil lauk di luar kemampuan mereka kerana masih terdapat banyak pilihan lauk yang lain.

“Kami dengan rendah hati memohon maaf sekiranya ada pihak yang tidak berpuas hati dengan harga makanan kami. Yang kami tidak dapat elakkan berikutan kos bahan mentah yang semakin meningkat,” jelasnya.

Resit pelanggan yang tular
Baca berita berkaitan: Pelanggan terkejut dicaj RM50 untuk seekor sotong, KPDN Sabah tuntut penjelasan daripada pihak restoran

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah menuntut penjelasan daripada pihak restoran berkenaan susulan aduan pelanggan itu tular di media sosial.

Tinjauan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Sabah di restoran itu turut mendapati harga makanan tidak dimaklumkan dengan jelas, di mana peniaga sepatutnya meletakkan berapa harga untuk sotong manis bersaiz kecil, sederhana dan besar.

Ekoran itu, KPDN Sabah telah mengambil tindakan terhadap pemilik premis mengikut Seksyen 12 Akta Perlindungan Pengguna 1999 kerana meletakkan harga mengelirukan pengguna.

Sumber: Noeylz Hashim

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!